Asbab prestasi Safawi merudum cuba dirungkai fans, pemergian 'kuda tua' JDT didakwa jadi punca


  • Podium
  • Ahad, 07 Mei 2023

Safawi ketika pernah menjadi tonggak utama serangan JDT selama beberapa musim.

SEJAK membuat penampilan sulungnya di peringkat profesional bersama T-Team pada 2015, Safawi Rasid tidak menunggu lama untuk mengumumkan kemunculannya dalam arena bola sepak negara.

Dengan kemahirannya melakukan gelecekan, larian lincah dan membuat sepakan deras daripada kaki kiri, pemerhati bola sepak negara tidak menunggu lama untuk melabelkannya sebagai pemain bakal mengemudi barisan hadapan negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perpindahannya ke Johor Darul Takzim (JDT) pada 2016 dilihat sebagai sesuatu tidak dapat dielakkan bagi membantu perkembangan kariernya ke peringkat lebih tinggi.

Dengan fasiliti bertaraf dunia dan dibantu dengan skuad terdiri daripada barisan pemain terbaik negara, keberadaan Safawi menjadi rencah terbaik dalam membentuk dirinya bagi menjadi pemain terbaik negara.

Seperti dijangkakan, anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berjaya menunjukkan peningkatan prestasi yang konsisten untuk tiga musim pertamanya bersama skuad skuad Harimau Selatan.

Dalam tempoh tersebut, Safawi berjaya meletakkan dirinya sebagai tonggak pilihan utama barisan serangan JDT dengan purata sumbangan golnya yang direkodkan adalah kekal melepasi 0.3 jaringan bagi setiap perlawanan.

WhatsApp Image 2023-05-06 at 10.22.25 PM

Diogo pernah membentuk gandingan utama barisan serangan JDT bersama Cabrera dan Safawi dalam tempoh dua musimnya bersama JDT. — Facebook

Rekod tersebut disifatkan agak baik untuk seorang penyerang tempatan yang ketika itu perlu bersaing dengan barisan pemain import termasuk yang berada di dalam skuad JDT itu sendiri.

Namun begitu, prestasi tersebut gagal diteruskan bermula pada musim 2019/2020 selepas dia mula tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan Harimau Selatan.

Pada musim tersebut, dia yang merupakan pemain kebangsaan hanya berjaya mendapat tempat dalam tujuh perlawanan berbanding 26 penampilan pada musim sebelumnya dan situasi itu berterusan untuk beberapa musim seterusnya.

Penghijrahannya ke Liga Portugal bersama Portimonense SC pada akhir 2020 juga gagal untuk membantu mengembalikan prestasinya dengan dia kembali pulang ke tanah air hanya selepas dua bulan tempoh pinjaman.

Terdapat pelbagai punca didakwa menjadi sebab kepada kemerosotan Safawi yang kini dipinjamkan ke kelab Liga Thailand, Ratchaburi FC.

Selain isu luar padang, peningkatan kualiti di barisan serangan JDT dengan kehadiran penyerang seperti Bergson Da Silva pada musim tersebut didapati menjadi antara sebab Safawi semakin dipinggirkan dengan situasi itu berterusan sehingga ke beberapa musim seterusnya.

Pada tempoh tersebut juga, skuad Harimau Selatan menyaksikan kemunculan sulung penyerang muda sensasi negara ketika ini iaitu Arif Aiman yang juga beraksi di posisi yang sama, sekali gus meningkatkan lagi cabaran kepadanya.

Pada masa sama, terdapat juga penyokong berpandangan terdapat satu lagi faktor menyebabkan Safawi mula hilang sengat dalam persembahan yang ditampilkan bermula pada musim tersebut.

Putera Muiz berkata, prestasi Safawi mula menurun selepas pemergian bintang penyerang dari Brazil, Diogo Luis Santo ke kelab Liga Thailand, BG Pathum United pada 2020.

WhatsApp Image 2023-05-06 at 10.23.19 PM

Safawi kini melalui tempoh pinjamannya bersama Ratchaburi FC. — RatchaburiFC

Diogo yang menyertai JDT pada musim 2018/2019 merupakan tonggak utama serangan JDT bagi dua musim melalui gandingan tiga serangkai bersama Safawi dan Gonzalo Cabrera.

"Pasal dia (Diogo) la Safawi naik. Lepas dia pergi Thailand, Safawi terus merudum. Antara penyerang yang ada naluri pemain tengah (buat bantuan gol)," ujarnya.

"Dia jadi dia main false 9, tu sebab cabrera dengan Safawi letop dulu. Macam trio Sadio Mane, Roberto Firmino, Mohamed Salah. Firmino false 9 memang kaki sumbat (bantuan gol) kepada Mane dengan Salah," tulis Amirul Azani.

"Tak tamak. Dan semua di sekelilingnya dapat manfaat. Lihat la dulu, Safawi top scorer sebab ada dia. Tak ada dia, terus jem," kata Khairil Alias.

Untuk rekod, kemuncak prestasi terbaik Safawi bersama JDT direkodkan pada musim 2018/2019 dengan sembilan jaringan dan enam bantuan gol.

diogo

Diogo kini kembali bersama JDT pada musim ini. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Pada masa sama, dua musim awal Diogo bersama JDT menyaksikan pemain itu 14 gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 27 penampilannya pada musim sama.

Diogo yang kini berusia 35 tahun kembali bersama JDT pada musim ini selepas kontraknya bersama BG Pathum United ditamatkan pada akhir tahun lalu.

Safawi yang kini berusia 26 dikhabarkan bakal menamatkan tempoh pinjamannya bersama Ratchaburi FC lebih awal daripada dijangka.

Dengan beberapa kelab Liga Malaysia (M) dikatakan mula mengintai bagi mendapatkan khidmatnya, persoalan lebih penting adalah adakah mereka mampu menyediakan skuad terbaik untuk membolehkan Safawi menampilkan potensi sebenarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram