'Dah tak laku, TFC jadi tempat bergantung hidup', fans reject hasrat Tommy bawa masuk Safawi


  • Podium
  • Khamis, 20 Apr 2023

Safawi (kanan) merupakan produk TFC II yang dibimbing Tomislav pada 2015. — Facebook/TFC

MESKIPUN belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai khabar angin mengenai perpindahan pemain sayap lincah kebangsaan, Safawi Rasid ke Liga Malaysia (Liga M) namun sudah ada pasukan yang menempah khidmatnya.

Pasukan berkenaan adalah Terengganu FC (TFC) yang menyimpan hasrat untuk membawa pemain berusia 26 tahun itu sekiranya Safawi dibenarkan untuk dipinjamkan oleh Johor Darul Takzim (JDT).

Kenyataan berkenaan diutarakan sendiri oleh pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner yang berharap agar dapat bersatu kembali bersama bekas anak muridnya ketika mengendali Terengganu FC II pada 2015.

Menurutnya, pemain sayap yang ada dalam pasukan buat masa ini tidak sebaik Safawi dan sudah tentu dia boleh membantu Terengganu.

“Sudah tentu kita berminat untuk dapatkannya, apabila kita bercakap mengenai pemain berkualiti seperti Safawi.

"Sekarang dia adalah seorang pemain yang berpengalaman, saya ada beberapa pemain sayap tetapi mereka tidak berada di tahap Safawi,” katanya.

tomi

Tomislav mengakui berminat untuk membawa Safawi Rasid ke dalam pasukan itu. — Facebook/TFC

Penyokong kelab Pantai Timur itu bagaimanapun mempunyai pendapat berbeza dengan pengendali Croatia tersebut dan bagi mereka memancing semula Safawi ke dalam pasukan hanyalah perkara yang merugikan wang ringgit susulan tanda harganya.

Jika dilihat pada laman Transfermarkt, tanda harga pemain kelahiran Terengganu itu adalah bernilai €250,000 atau bersamaan RM1,377,526 juta.

Bukan itu sahaja, ada juga penyokong yang berpendapat bahawa Safawi seperti hanya menjadikan kelab di kampung halamannya itu pilihan terakhir selepas tiada kelab ingin menggunakan khidmatnya lagi.

“Safawi sudah expired, jadi TFC perlu ambil kira bakat-bakat baharu dalam TFC. Safawi pemain yang sudah bermain pasukan kaya-raya, gaji mahal. Bila sudah tak laku TFC pula tempat bergantung hidup, jadi pada saya baik bagi sahaja peluang dengan ubi muda,” kata penyokong TFC, Yus Iman.

“Safawi dah jadi sawi layu dah. Masa segar dahulu tak nak ambil,” komen penyokong skuad Penyu, Mustafa Rahman.

Sebelum ini, kecoh dalam media sosial bahawa pemain kebangsaan itu memilih untuk meninggalkan kelab Liga Thailand, Ratchaburi FC dan selain Terengganu, Sri Pahang juga antara pasukan yang dikaitkan dengannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram