'Indah khabar dari rupa', fans TFC idam idea bernas Tomi tewaskan The Rhinos


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Pemain TFC menjalani latihan fizikal di gimnasium sebagai persiapan menentang Sabah FC pada 19 Mei nanti. — Facebook/Terengganu FC

HANYA berbaki dua minggu sebelum Terengganu FC (TFC) terbang ke Negeri Di Bawah Bayu untuk menerima jemputan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah bagi saingan Liga Super 2023.

Tidak dinafikan pasukan Sang Penyu yang berada di tangga kelapan dalam carta pastinya berdebar ingin bertemu skuad nombor empat dalam liga tersebut.

Bertitik tolak daripada kekalahan TFC menentang Sri Pahang FC 1-2 di laman sendiri, pasukan tersebut mulakan latihan intensif demi perbaiki prestasi permainan.

Pasukan dari Pantai Timur tidak jemu menjalani latihan intensif di bawah seliaan jurulatih mereka, Tomislav Steinbruckner sambil menghitung hari untuk ke Sabah pada masa terdekat ini.

Namun, kesungguhan skuad Penyu itu seolah-olah dipandang sepi oleh peminat pasukan tersebut, malah ada yang menyifatkan segala latihan yang dipaparkan media sosial hanyalah wayang semata-mata.

Bukan apa, pada mereka, hasil latihan tersebut tidak mencerminkan persembahan oleh pasukan tersebut apabila berada di atas padang.

"Tengok training gerun, tapi bila ada game terus jadi nelayan ke laut.

"Harap-harap coach kena cari juga solusi bagaimana nak buat pemain agresif sedikit dan boleh menang (dalam perlawanan), apapun TFC tetap di hati," kata Khairul Jihadi.

344566720_2172952019570498_771696928165399177_n

Selain rutin latihan fizikal, pemain TFC perlu seimbang dari segi corak permainan, kendalian bola dan taktikal yang betul. — Facebook/Terengganu FC

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Mat Jenin pula, sebagaimana dia memuji rutin latihan fizikal yang dijalani oleh Sang Penyu, dia berharap ia seimbang dengan latihan di atas padang.

"Harap diteruskan untuk baiki dan improve fizikal pemain, perlu kerapkan juga sesi latihan di gym ini. Lagi cantik kalau seimbangkan dengan latihan atas padang.

"Sebab dah bertahun-tahun nampak latihan sama dan tiada improvement. Harap-harap usaha kali ini dapat membantu pemain tingkatkan fizikal dan kualiti permainan," katanya.

Menurut Mohd Sufian pula, walaupun kalah dan menang adalah adat dalam perlawanan bola sepak, namun ia bukan alasan untuk hanya bersandarkan kepada takdir tanpa usaha dan percaturan bijak daripada jurulatih.

"Dalam bola sepak, kalah menang itu biasa, Tapi kalau corak permainan pun tak best, pemain pun longlai. Ada harapan ke nak menang," katanya.

Ketika mana para peminat dilihat seperti berhenti berharap kepada pasukan kesayangan mereka, TFC perlu menggandakan usaha bagi mencapai kemenangan menentang Sabah FC nanti demi menambat hati pemuja mereka.

Untuk rekod, Sang Penyu memenangi sebanyak empat perlawanan, tewas dalam lima permainan dan satu seri sepanjang Liga Super pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram