Fans TFC idam khidmat bekas Kante Sang Kenari, ganti segera bintang tumpul JDT


  • Podium
  • Ahad, 30 Apr 2023

Aksi Dechi ketika berkhidmat dengan skuad Sang Penyu pada musim 2019. — Facebook/ Terengganu FC

SKUAD Terengganu FC (TFC) tewas di laman sendiri selepas ditundukkan 1-2 oleh pasukan tetangga, Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.

Pasukan Hitam Putih kendalian Tomislav Steinbruckner masih dibelenggu isu sama sejak liga bermula apabila ada sebahagian pemain dikatakan kurang kreatif dan berkualiti, tidak bermain sehabis baik selain dihimpit masalah kecergasan.

Antara yang mendapat kritikan hebat ketika ini ialah pemain pinjaman Johor Darul Takzim (JDT), Liridon Krasniqi yang dianggap 'berat' di atas padang.

Selain Liridon, import dari Croatia, Domagoj Pusic juga menghampakan peminat Sang Penyu dengan persembahannya yang kurang konsisten dan meyakinkan setakat ini.

Dechi-Marcel-1170x780

Dechi pernah berkhidmat selama semusim dengan KDA FC. — Facebook/ KDA FC

Dengan jendela perpindahan kedua yang bakal dibuka tidak lama lagi, sebahagian penyokong TFC sudah mencongak-congak siapa pemain yang layak dibawa masuk dan siapa pula yang boleh ditunjuk jalan keluar.

Dalam perkiraan mereka, antara salah seorang yang boleh dipertimbangkan ialah bekas pemain import Kedah Darul Aman FC, Dechi Marcel.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak asing daripada Liga Malaysia (Liga M) kerana pernah berkhidmat dengan UiTM FC sebelum menyertai Terengganu FC pada 2019.

Dia kemudian bermain untuk skuad Sang Kenari bagi musim 2022 dan kini berstatus ejen bebas.

Di Instagram, Dechi menggunakan akaun @dechkani10 bagai memberi bayangan seakan-akan terbuka hati terhadap ajakan penyokong yang memintanya menyertai Terengganu FC.

Pemain dari Ivory Coast memberikan emoji 'love' kepada mesej penyokong yang tidak jemu mengajaknya ke TFC.

Jika Dechi ke TFC, tentunya dia boleh mengisi kelemahan di bahagian tengah dan tengah bertahan kerana kemampuan pemain berusia 1.64 meter itu bermain di posisi berkenaan.

343932625_562756242390869_7476965890998383474_n

Dechi memberikan emoji love kepada mesej penyokong yang mengajaknya ke TFC. —Instagram @dechkani10

Dechi yang pernah mendapat gelaran 'Kante Ganu' dan 'Kante Kedah' memiliki prestasi yang baik semasa di Terengganu FC ketika bergandingan dengan Habib Haroon.

Bagaimanapun prestasinya sedikit merosot di Kedah dipercayai kerana tidak memiliki gandingan yang sebaik Habib.

Justeru, penyokong berpendapat, dengan adanya Habib di Terengganu, Dechi boleh memberikan aksi terbaik sekali gus memulihkan prestasi skuad Sang Penyu.

Terengganu FC ketika ini sedang menduduki tangga kelapan Liga Super hasil kutipan 13 mata daripada 10 perlawanan dengan lima kekalahan dicatatkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram