Selepas jinakkan Selangor, ini 6 lagi aksi genting The Rhinos selepas ini


  • Podium
  • Rabu, 03 Mei 2023

Sabah FC kini mengutip 20 mata selepas 10 aksi Liga Super. — Facebook/Sabah Football Club

SABAH FC terus mendaki keyakinan tinggi dalam Liga Super 2023 apabila berjaya menumbangkan Selangor FC 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 27 April lalu.

Kemenangan ke atas skuad The Red Giants itu jelas mengukuhkan kedudukan pasukan The Rhinos di kedudukan keempat dalam Liga Super musim ini.

Dengan rekod yang memberangsangkan, tidak mustahil pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu itu terus mengorak langkah ke depan dan memaparkan prestasi cemerlang dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

Tidak mustahil, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee berterusan mempamerkan aksi cemerlang sebaik saingan liga bersambung yang ketika ini dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada temasya Sukan SEA yang bakal membuka tirainya di Kemboja.

343405680_631124228366644_8124411579875849129_n

Aksi perlawanan Sabah FC menentang Selangor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 27 April lalu. — Facebook/Sabah Football Club.

Berikut merupakan enam perlawanan yang bakal ditempuhi skuad The Rhinos selepas ini:

1. Sabah FC vs Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah (19 Mei)

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertembung adalah dalam Piala FA pada musim lalu semasa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu.

Bagaimanapun, The Rhinos pada ketika itu tewas dijinakkan Sang Penyu 0-2 hasil jaringan pemain kelahiran Senegal, Pape Diakite pada minit ketujuh dan pemain sayap pertahanan pinjaman ketika itu, Nik Shareef Haseefy pada minit ke-30.

Dengan prestasi Terengganu FC ketika ini yang dilihat bertambah baik, skuad ini adalah antara ancaman terbesar buat Sabah FC dalam liga musim ini.

2. Sabah FC vs Perak FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah (23 Mei)

Takdir kedua-dua pasukan ini bersilang sekali lagi selepas empat tahun tidak bertemu di laman sendiri ketika saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia edisi 2019.

Dengan keputusan seri dalam perlawanan ketika itu, pertemuan pada 23 Mei ini dilihat sebagai penentu sama ada skuad The Rhinos dapat menumbangkan pasukan The Bos Gaurus atau sebaliknya.

343749890_161800306832374_7105421443067577345_n

Aksi Terengganu FC menentang Sri Pahang FC di Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu pada 27 April lalu. — Facebook/Terengganu FC.

3. Kedah FC vs Sabah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah (2 Jun)

Kali ini di tempat pihak lawan, Sabah FC perlu bersiap sedia dengan segala kekuatan pasukannya bagi menentang saingan terdekatnya dalam Liga Super musim ini.

Pertembungan skuad nombor tiga menentang pasukan nombor empat dalam carta liga berkenaan pastinya dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan memandangkan prestasi semasa yang hampir seimbang bagi kedua-dua kelab ini.

4. PRDM FC vs Sabah FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor (8 Jun)

Nampak seperti kurang mendebarkan, tapi perlawanan ini sebenarnya antara yang menarik untuk diperhatikan oleh peminat bola sepak tempatan dalam musim ini.

Bukan apa, ini mungkin cabaran buat The Rhinos untuk menghancurkan benteng pertahanan skuad The Cops yang dikatakan sukar ditembusi oleh pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini.

5. Kelantan United FC vs Sabah FC di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, Kelantan (26 Jun)

Sabah FC dalam Piala FA musim lalu pernah menewaskan Kelantan United FC 2-0 di laman pihak lawan.

Namun, perlawanan kali ini pastinya berbeza apabila The Rhinos akan diterbangkan Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, Kelantan bagi menyambut jemputan pasukan dari Pantai Timur pada musim kali ini.

Cuma apabila bertembung dengan pasukan tercorot dalam Liga Super musim ini, mungkin The Rhinos boleh membawa pulang tiga mata sebagai buah tangan kepada peminatnya di Sabah nanti, tambahan pula dengan prestasi tidak menentu tuan rumah.

343603748_3542785222707708_2388458715212371996_n

Aksi KL City FC menentang PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 27 April lalu. — Facebook/PDRM Football Club.

6. Sabah FC vs Kuching FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah (8 Julai)

Kalau dah jodoh tidak ke mana. Baru sahaja bertemu pada 6 Mac lalu, peminat Sabah FC masih segar dengan memori kejayaan menewaskan Kuching FC 2-1 Stadium Sarawak, Kuching, Sarawak.

Sekiranya The Rhinos menang lagi dalam perlawanan tersebut, ia merupakan kekalahan kali kesembilan Kuching FC sepanjang liga berkenaan, namun bola itu bulat dan apa jua keputusan boleh berlaku dalam bola sepak.

Untuk rekod, sepanjang Liga Super 2023 setakat ini, Sabah FC yang kini ditempat keempat liga selepas 10 perlawanan mencatat kemenangan sebanyak enam kali, manakala tewas dan seri masing-masing sebanyak dua kali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram