Dua tonggak Bos Gaurus dapat pujian Pengerusi Perak FC


  • Podium
  • Ahad, 30 Apr 2023

Kesebelasan utama Perak FC ketika menentang Kelantan FC pada Jumaat lalu. — Facebook/Perak FC

KEJAYAAN Perak FC bangkit menewaskan Kelantan FC dengan jaringan 3-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan dalam perlawanan Liga Super pada 28 April selepas mencatatkan lima keputusan yang tidak memberangsangkan sememangnya melegakan peminat kesayangan The Bos Gaurus.

Kemenangan skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim itu nyata mendapat pujian dari penyokong-penyokong The Bos Gaurus malah pihak pengurusan tertinggi turut meberikan reaksi positif berkenaan perlawanan tersebut.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pasukan itu sedang dalam proses untuk stabil selepas proses pemulihan beberapa pemain yang cedera seperti Wan Zack Haikal dan Luciano Guaycochea mula membuahkan hasil.

Jelas beliau, kedua-dua pemain tersebut diakui tidak mendapat tempoh pemulihan yang sebaiknya selepas mengalami kecederaan serius malah terpaksa bermain meskipun berada dalam kesakitan beberapa perlawanan Liga Perdana musim lalu.

"Kini kita sangat gembira melihat kualiti yang ditonjolkan mereka dan pastinya ia mempengaruhi keseluruhan corak permainan pasukan. Perak FC sedang dalam proses menstabilkan pasukan dan kita sudah menghampiri separuh musim Liga Malaysia.

"Kami berpuas hati dengan prestasi pasukan dan akan berusaha untuk membuat satu atau dua pertukaran pada jendela perpindahan akan datang dalam memastikan sasaran 25 mata agar kita boleh berada di pertengahan carta kedudukan Liga Super 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Abdul Azim berkata, pihaknya amat gembira melihat pemain-pemain kembali cergas untuk bersaing merebut kesebelasan utama pasukan.

Katanya, kemenangan dengan Kelantan FC pada Jumaat merupakan hadiah pasukan untuk semua peminat setia khususnya yang mengharungi kesesakan lalu lintas semasa bulan perayaan untuk memberi sokongan di Kota Bharu, Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram