Tomi dapat sokongan kekal terajui TFC meski 2 jurulatih dalam radar Sang Penyu


  • Podium
  • Ahad, 30 Apr 2023

Tomislav masih mendapat kepercayaan penyokong-penyokong Terengganu FC. — Facebook/TFC

"TOMISLAV Steinbruckner masih okay."

Itulah luahan penyokong-penyokong Terengganu FC (TFC) selepas dua nama jurulatih dikaitkan bakal menggantikan bekas pengarah teknikal skuad Penyu itu.

Dua nama yang hangat diperkatakan bakal mengambil alih tugas Tomislav ialah Irfan Bakti dan Aidil Shahrin menjelang pusingan kedua liga.

Umum mengetahui sebelum kehadiran Nafuzi Zain, Irfan Bakti merupakan individu yang berjaya membawa Terengganu FC ke pentas akhir Piala Malaysia 2018 sebelum meninggalkan pasukan pada 2019.

Manakala Aidil Shahrin pula nama yang tidak asing dalam Liga Malaysia apabila membawa Kedah Darul Aman FC mencipta pelbagai kejuaraan serta berjaya bawa skuad Sang Kenari itu ke kejohanan Piala AFC.

Irfan Bakti & Aidil Shahrin

Irfan Bakti (kiri) dan Aidil Shahrin (kanan) dikaitkan akan menggantikan Tomislav di Terengganu FC.

Namun begitu, rata-rata penyokong skuad Penyu dilihat tidak setuju jika dua jurulatih tersebut menggantikan Tomislav meskipun prestasi pasukan dari pantai timur itu terumbang-ambing.

Malah mereka menyokong untuk Tomislav kekal mengendalikan pasukan Terengganu dengan syarat pihak pengurusan membawa masuk beberapa muka baharu di dalam pasukan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super pada Jun.

"Bagi saya Aidil Shahrin tak perlu, Tomislav okay lagi cuma dia perlu tukar Liridon, Domagoj Pusic, Omid Nazari dan Hakimi Abdullah. Perlu bawa masuk pemain-pemain baharu," kata Muzir Aripin.

"Coach Tomislav masih okay, cuma kena kuatkan lagi skuad depth, sebab barisan pemain yang ada kurang mencabar. Penambahbaikan beberapa pemain yang berkualiti akan menguatkan lagi TFC," jelas Hafeez Mohammed.

"Tak perlu Aidil Shahrin itu, kekalkan Tomislav dulu cuma kena cari pemain import yang bagus, ini salah pengurusan bukan jurulatih," ujar Iqie Muhammad.

Mamut

Ivan Mamut antara import yang dibawa masuk TFC musim ini. — Facebook/TFC

Musim ini pihak pengurusan TFC membawa masuk enam pemain import baharu dan mengekalkan tiga import musim lalu.

Pemain import yang dibawa masuk ialah Sardor Kulmatov, Ivan Mamut, Domagoj Pušić, Adisak Kraisorn, Sony Nordé dan Omid Nazari.

Manakala tiga yang masih kekal ialah Jordan Mintah, Habib Haroon dan Argzim Redzovic yang bakal menjadi pemain naturalisasi baharu kebangsaan.

Ketika ini TFC menduduki tangga ke-10 dengan mengutip 13 mata dalam 10 perlawanan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram