KELANTAN FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tewas 1-3 kepada pasukan Perak FC dalam saingan liga di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Perak FC meraih tiga mata penuh menerusi jaringan gol sendiri daripada pemain Kelantan, Yusri Yuhasmadi sebelum penyerang The Bos Gaurus, Luciano Guycochea menambah gol pada minit ke-45 dan Che Suhairi Che Halim (minit ke-65).
Skuad The Red Warriors (TRW) memperoleh jaringan awal hasil rembatan Nuha Marong pada minit ke-14, namun gol awal itu tidak berjaya meletakkan Kelantan FC di depan.
Malah percubaan Kelantan FC untuk mengejar Perak FC tidak berhasil apabila hanya mampu menambah jaringan kedua pada masa tambahan ketika perlawanan berbaki kurang lima minit.
Rata-rata penyokong Kelantan FC melahirkan rasa kecewa atas persembahan pasukan yang longlai hingga boleh tewas kepada skuad Sang Seladang yang dibarisi pemain muda dan bukanlah dalam kelompok terbaik musim ini.
Seorang penyokong, Wan Azrizal berpendapat Kelantan FC akan menjadi pasukan belasahan berdasarkan persembahan kurang menyakinkan yang dipamerkan ketika aksi menentang Perak FC.
"Kalau dengan Perak pun kalah, jawabnya tahun ni tohok (buang) saja. Lubuk tiga mata," katanya.
Sementara itu seorang penyokong, Fahmi Pa pula meninggalkan komen sinis dengan mengaitkan kekalahan TRW itu ekoran daripada memo dari pihak pengurusan TRW.
"Alhamdullilah, dengan memo dari Boszam itu boleh membantu pasukan untuk tidak kalah besar. Kapal nak karam," katanya.
Sebelum ini, penyokong Kelantan pernah menyuarakan rasa tidak puas hati apabila pihak pengurusan melarang mereka membawa masuk sepanduk, bendera dan juga gendang.
Sementara itu, penyokong Perak FC turut memuji persembahan anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim.
"Kejayaan mengalahkan bekas pasukan liga perdana boleh dijadikan penanda aras baharu," katanya
Syed Salfarin juga berasakan Wan Zack Haikal memainkan peranan seperti yang diinginkan coach apabila membimbing pemain muda atas padang.
"Nampak beri kesan yang positif... Perlu ada pemain senior yang vokal atas padang... keep going perbaiki segala kesilapan dan terus berusaha buat yang terbaik...tahniah untuk tiga mata," ujarnya.
Dengan kemenangan itu, skuad Seladang berjaya ke kedudukan kesebelas Liga Super dengan kutipan sembilan mata manakala skuad TRW pula berada di tangga ketiga belas.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram