Jangan sampai Daud Bakar tarik diri, fans kemuka idea hebat elak Sang Kenari terus jadi lubuk 3 mata lawan


  • Podium
  • Selasa, 25 Apr 2023

KDA FC dilihat masih belum menemui potensi sebenar sebaik diambil alih oleh Daud Bakar sebagai pemilik kelab. — Facebook/ KDA FC 

TEKANAN kian memuncak buat pasukan Kedah Darul Aman (KDAFC) selepas mengalami beberapa siri kekalahan dalam aksi Liga Super pada musim ini.

Lebih parah lagi, skuad Sang Kenari sekali lagi tumbang di laman sendiri apabila tewas 2-3 kepada skuad KL City FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Ibarat menambah garam di luka, kekalahan itu merupakan kekalahan keempat anak buah Nafuzi Zain di laman keramat mereka selepas tewas kepada Penang FC dalam saingan Piala FA dan PDRM FC dalam aksi liga sebelum ini.

Sebelum ini juga, skuad Hijau Kuning itu dimalukan di laman sendiri selepas tewas besar 0-6 kepada Johor Darul Takzim (JDT).

Walaupun berada di kelompok lima terbaik setakat ini dengan 16 mata, ia bukanlah satu kedudukan selesa buat pasukan Hijau Kuning yang mendapat suntikan menerusi pemilikan baharu pada September 2022 apabila penaung KDA FC, Tan Sri Dr Daud Bakar menjadi pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn. Bhd.

342198018_218596284114521_2356762800431675918_n

Sebahagian aksi KDA FC menentang skuad The City Boys yang menyaksikan Sang Kenari tewas 2-3. — Facebook/ KDA FC

Matlamat untuk membawa Sang Kenari memasuki era baharu mulai musim ini juga seakan-akan terencat jika melihat kepada prestasi kurang konsisten pasukan KDA FC setakat ini.

Melihat kepada prestasi semasa pasukan Sang Kenari, ada dalam kalangan penyokong yang risau jika Daud Bakar menarik diri daripada terus mengemudi KDA FC sebagai pemilik.

Justeru, tanda sokongan berterusan, ada yang memberikan lontaran idea bagi mengelakkan pasukan kesayangan mereka terus menjadi lubuk tiga mata lawan.

Seorang penyokong, Brad Mulus berpendapat, KDA FC perlu terus memperbaiki dan menambah kekuatan pasukan secara berperingkat.

"Step by step kena perbaiki pasukan. Ini tahun pertama Tan Sri ambil alih KDA FC, masih perlukan masa untuk menjadi pasukan lebih mantap dan terbaik.

"Lagi dua ke tiga tahun barulah KDA FC akan berdaya saing sampai Asia, Insya-ALLAH pakat-pakat beri sokongan padu kepada KDA FC dan Tan Sri," katanya.

Abdul Manap Mat pula berasakan pengurusan dan pentadbiran jurulatih perlu diberi teguran jika terdapat sebarang kekhilafan daripada pihak mereka.

"Untuk pusingan pertama liga ni nampak mereka gagal. Harap-harap Tan Sri boleh beri teguran sikit kepada mereka yang tidak ada komitmen terhadap team KDA FC, jangan sampai dah tersungkur baru nak bertindak," katanya.

341544813_895808184859351_1404261895456507082_n

Pemain Kedah dirasakan perlu diberi suntikan motivasi dan semangat sayangkan pasukan supaya mereka dapat memberikan komitmen 100 peratus atas padang. — Facebook/ KDA FC

Awang Yusop pula memberikan idea supaya KDA FC menambah kekuatan pasukan dengan mempertingkatkan jati diri semoga mereka bermain dengan semangat demi lencana di dada.

"Stamina pun kena bagi tambah padu seperti pasukan JDT. Tambah intensiti latihan supaya mereka lebih cergas dan tangkas atas padang.

"Nampak itu saja kelemahan KDA. Nak ikutkan yang lain-lain dah okay. Jersi dah elok, penaja pun dah elok. Nak salahkan jurulatih pun tak boleh sebab pemain bukan level kaki bangku. Sampai Turki orang bawa (untuk latihan pramusim).

"Cuma pemain tu main tak semangat langsung. Ni macam kena beri motivasi jati diri sayangkan pasukan kot baru nak main sungguh-sungguh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram