KEMENANGAN ke atas Kelantan FC ketika minggu pertama Liga Super sepatutnya menjadi satu suntikan semangat buat Kuching City FC untuk beraksi di divisyen teratas bola sepak tempatan.
Di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang cukup berpengalaman, ia dilihat sebagai permulaan cukup baik bagi mereka yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana 2022.
Namun, kisah sebaliknya yang berlaku apabila pasukan Borneo itu gagal mencatatkan sebarang rentak sejak kekalahan kepada Selangor FC di Stadium Negeri, Sarawak pada minggu kedua.
Sejak itu, skuad The Cats hanya mencatatkan satu keputusan seri yang mana menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-12 liga selepas sembilan perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, prestasi teruk itu berterusan sehingga Kuching City FC ditunjukkan pintu keluar daripada saingan Piala FA oleh Penang FC dengan kekalahan memalukan 0-4.
Bagi penyokong setia pasukan, perkara itu bagaimanapun masih boleh diterima memandangkan mereka tidak meletakkan harapan terlalu tinggi sebelum liga membuka tirainya.
Namun, Irfan Bakti jelas kecewa dengan prestasi pasukan selepas berusaha bersungguh-sungguh di kawasan teknikal dalam setiap perlawanan.
Jadi, sejurus kekalahan terbaharu mereka di tangan Sri Pahang FC, pengendali berusia 71 tahun itu menyatakan hasratnya untuk bertemu pihak pengurusan.
Irfan mengakui anak-anak buahnya belum berada dalam tahap Liga Super. — Facebook/Kuching City FC
Bagaimanapun, dalam satu laporan media tempatan baru-baru ini, Irfan difahamkan akan kekal bersama skuad The Cats selepas keputusan sebulat suara dibuat.
Tindakan itu bagaikan tidak selari dengan prestasi semasa pasukan yang terus dilanda ketidaktentuan di samping figura yang dihormati ramai itu semakin hampir menamatkan karier dalam bidang kejurulatihan.
Tetapi, menurut bekas ketua jurulatih Terengganu FC itu, keputusan itu dibuat memandangkan dia tidak mahu meninggalkan sesebuah pasukan ketika mereka dirundung masalah.
"Memang, selepas kekalahan demi kekalahan, saya juga malu dengan reputasi dan sebagainya, tetapi saya perlu realistik. Jadi, kalau saya tinggalkan mereka di bawah, jadi saya rasa sedih.
"Saya malulah dengan beberapa kali kalah, tapi saya perlu terima hakikat bahawa pemain yang saya ada bukan di tahap Liga Super," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, perkara itu turut diakui pihak pengurusan dengan Irfan mengharapkan agar Kuching City FC melakukan rombakan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super.
Kuching City FC mengalami penyingkiran memalukan di tangan Penang FC dalam saingan Piala FA. — Facebook/Kuching City FC
Jurulatih kelahiran Perak itu sememangnya cukup disegani dalam arena bola sepak tempatan dengan kejayaan serta pengalaman yang pernah diraihnya sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat.
Antara pencapaian yang pernah diraihnya termasuk membantu Terengganu FC menjulang trofi Piala FA 2011 selain bergelar jurulatih terbaik ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011.
Dalam masa sama, Irfan juga berkata, perubahan akan dibuat menjelang pertemuan Liga Super minggu ke-10 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.
"Sebelum ini, dalam saingan Piala FA, kita kalah 4-0 kepada Penang FC, jadi insya-ALLAH, malam ini, tidak akan berlaku sebegitu, seperti mana kita kalah tempoh hari," katanya.
Jika berjaya mengumpul tiga mata tempat lawan, Kuching City FC berpeluang mendaki tempat ke-11 yang ketika ini diduduki Perak FC dengan perbezaan dua mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram