KEMELUT luar padang membabitkan pihak pengurusan Kelantan FC dengan ejen terkenal dari Korea Selatan, Myeongho Jeong dan ketua jurulatihnya, Choi Moon-sik belum selesai, timbul lagi isu baharu.
Terbaharu pihak pengurusan skuad The Red Warriors (TRW) difahamkan melarang para pemainnya untuk berjumpa dengan penyokong selepas perlawanan tamat.
Dalam satu memo bertulis yang dikeluarkan oleh jabatan keselamatan TRW, sesi tersebut hanya boleh dilakukan jika para pemain sudah mendapat kebenaran daripada pegawai bertugas.
“Jangan sekali-kali pergi ke tribun peminat selepas tamat perlawanan melainkan mendapat kelulusan daripada pegawai keselamatan. Semua pemain dan jurulatih perlu terus ke bilik persalinan selepas selesai berjabat tangan di bangku simpanan,” jelas kenyataan tersebut.
Memo dari pihak pengurusan TRW yang bertebaran di media sosial.
Selain daripada arahan tersebut, terdapat beberapa lagi peraturan baharu yang dibuat oleh pihak pengurusan dan jika diteliti surat tersebut bertarikh 27 April 2023.
Antara peraturan yang digariskan ialah pemain dan barisan kejurulatihan juga dilarang untuk mencetuskan pergaduhan dengan pihak lawan berikutan ia hanya merugikan pasukan tersebut.
Sebelum memo yang bertebaran di media sosial itu tersebar, penyokong Kelantan juga menyuarakan ketidakpuashatian apabila pihak pengurusan melarang mereka membawa masuk sepanduk, bendera dan juga gendang.
Protes berkenaan akan dilakukan pada aksi menentang Perak FC pada malam ini.
Gara-gara larangan berkenaan, kelab penyokong skuad TRW, Gate H Boys melaksanakan protes dengan hadir ke Stadium Sultan Muhammad IV berbaju serba hitam dan melakukan ‘silent mode’
“Pesanan buat penghuni Kurva Hilir untuk perlawanan malam ini. Kita hadir ke stadium seperti biasa dan penuhkan Kurva Hilir dengan keseragaman Hitam. Kehadiran kita malam sebagai tanda kita tidak akan meninggalkan pasukan meskipun disaat badai menimpa. Kita rebah bersama, kita bangkit pun bersama.
“Namun suasana sedikit berbeza malam ini kita akan Silent Mode sepanjang 90 minit aksi berikutan larangan membawa masuk drum, banner dan semua yang berkaitan demi keselamatan semua pihak seperti yang dinyatakan. Jadi hadirkan diri dan penuhkan teres Kurva Hilir seperti biasa,” tulis laman penyokong itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram