LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
PERTEMUAN ini mungkin melengkapi ciri-ciri sebuah filem cemas apabila dua bekas jurulatih kebangsaan menyingsing lengan baju masing-masing di petak bersebelahan, dengan tiga mata lagi menjadi rebutan.
Cuma, apa yang bakal menjadi tontonon dan bagaimana kesudahannya dalam perlawanan tumpuan Sabah FC berhadapan dengan Selangor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok (Khamis), bukanlah fiksyen.
Daripada pelawat pertama musim ini, PDRM FC, hinggalah kepada yang terakhir, Kelantan FC, kepulangan dari Stadium Likas harus diselubungi persoalan apa sebenarnya yang telah ‘melanggar’ mereka.
Keputusan yang merekodkan kemenangan selesa ke atas PDRM FC 4-0, Kelantan United 3-1, Penang FC 5-2 dan Kelantan FC 6-1 bermakna The Rhinos telah menyumbat purata 4.5 gol dalam setiap perlawanan untuk memanjangkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri setakat ini.
Daniel Ting menjaring dua gol ketika menewaskan Kelantan FC 6-1. — Facebook/SabahFC
Musim lalu, pasukan tuan rumah itu tunduk 2-3 kepada Selangor FC di Stadium Likas pada 10 September 2022, dengan jaringan Hein Htet Aung pada minit ke-76 menjadi pemutus.
“Perlawanan ini akan menjadi ujian terbesar buat kami di halaman sendiri setakat ini.
“Kami juga mahu membuktikan sesuatu sebagai pencabar dalam Liga Super musim ini dan Selangor akan menjadi ujian getir," kata ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, kepada Laptop Cabuk.
Selangor FC – dengan rentetan lima kemenangan dalam aksi di Lembah Klang ke atas Kuala Lumpur City FC 3-1, Negeri Sembilan FC 2-1, Kelantan FC 3-0, Sri Pahang FC 4-0 dan Terengganu FC 5-1 – dihormatinya sebagai sedang menyusuri momentum yang sangat baik.
Cuma, selepas sekian lama lama berkampung di kawasan sendiri sejak kunjungan ke luar ke Pulau Pinang pada 12 Mac lalu – Selangor FC adalah pasukan pelawat ketika menentang KL City FC di Stadium Bola Sepak Cheras tapi masih di sekitar Lembah Klang – kali ini harus menghadirkan ujian jauh daripada zon selesa mereka.
Sabah FC tewas 0-2 di tangan skuad Warga Kota. — Facebook/SabahFC
Kepada Kim Swee, ia akan menjadi perlawanan menarik bukan saja buat penyokong kedua-dua pasukan, malah peminat pasukan lain juga, berdasarkan Selangor menang dalam lima perlawanan terakhirnya manakala Sabah FC belum tewas di halaman sendiri.
“Di pihak Sabah FC, kami akan cuba elakkan kekalahan kerana seboleh-bolehnya kami tidak mahu membiarkan jurang mata yang terlalu jauh dengan mereka,” katanya solah-olah merendah diri.
Bagaimana dengan kebanggaan rekod 100 peratus di Stadium Likas?
“Sebenarnya itulah yang kami sasarkan. Kami mahu jadikan Stadium Likas gelanggang yang tidak mudah buat mana-mana pasukan pelawat dan kami mahu memanjangkan rekod 100 peratus ini,” ujarnya.
Kim Swee lebih daripada memahami kekecewaan peminat apabila rekod tanpa kalah mereka pada awal musim – termasuk menewaskan Kuching City 2-1 dan seri 1-1 dengan Sri Pahang FC, kedua- duanya di tempat lawan – lebur dalam kunjungan kali kedua mereka ke Semenanjung.
Pemain The Rhinos sudah kembali ke pusat latihan Sabah FC bagi melakukan persiapan menentang Gergasi Merah pada 27 April. — Facebook/SabahFC
Dikalahkan Johor Darul Takzim (JDT) 4-0 dan KL City 2-0 dalam jarak enam hari di antara 31 Mac dan 5 April, mengundang reaksi negatif warga maya Sabah hingga ada yang menuntut rombakan ke atas pasukan.
“Saya tidak marah dengan peminat yang melontarkan cadangan mahupun kritikan. Saya tiada masalah kerana ia menunjukkan mereka mengambil berat terhadap pasukan ini.
“Tapi apa yang membuat saya lebih kecewa ialah apabila ada dalam kalangan pegawai Persatuan Bola Sepak Sabah sendiri yang menggunakan media sosial untuk mengkritik kami.
“Saya tidak tahu apa niat dia, mungkin nak jadi popular pada pandangan netizen Sabah. Jika kritikan netizen saya anggap satu rangsangan buat kami untuk terus memperbaiki pasukan, tindakan pegawai itu pula pada saya satu sabotaj,” tambahnya.
Begitupun, ia tidak cukup untuk memesongkan matlamat jurulatih kebangsaan 2014-17 dan skuad B- 23 negara 2017–2019 itu untuk merealisasikan harapan melihat Sabah FC berkesudahan dalam kelompok tiga teratas musim ini dan kembali meraih tempat di peringkat Asia.
“Jika kami konsisten dalam memanfaatkan peluang di depan gol, saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh kekalkan tangga ketiga seperti musim lalu,” katanya.
Jurulatih itu juga menyandarkan kelebihan mereka di Stadium Likas kepada keyakinan pemain untuk beraksi bebas berbanding ketika di gelanggang lawan.
Selangor FC ketika berkunjung ke Stadium Likas pada musim lalu. — Facebook/SabahFC
“Di tempat sendiri, kami lebih kepada menyerang secara bepasukan. Kami mempunyai banyak opsyen, tidak hanya terbatas kepada posisi tertentu.
“Jaringan boleh datang daripada sesiapa saja, daripada pemain tengah, malah pemain pertahanan kami sekalipun. Di samping itu, kami cuba untuk lebih tersusun ketika bertahan.
“Itu menceritakan kenapa kami dapat menjaringkan sekurang-kurangnya empat gol dalam setiap perlawanan setakat ini,” katanya lagi.
Kini terserah kepada Selangor FC untuk mengeyakan atau menidakkannya. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram