SEDAR atau tidak, kehangatan perlawanan derbi Pantai Timur antara Terengganu FC (TFC) menentang Sri Pahang FC dalam Liga Super 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu semakin terasa.
Pertembungan TFC dengan skuad Tok Gajah itu pastinya mendebarkan kerana impian mereka untuk membenamkan pasukan tanpa rekod kalah itu adalah keutamaan mereka.
Bukan itu sahaja, skuad Penyu itu semestinya ingin menebus kekalahan mereka selepas dibelasah Selangor FC 1-5 dalam liga sama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada 18 April lalu.
Mana tidaknya, pasukan TFC dilihat berbelanja mewah untuk musim kali ini iaitu sebanyak RM20 juta untuk pembangunan skuad tersebut.
Bagaimanapun, selepas melihat kekalahan menentang The Red Giants pada 18 April lalu, para peminat pasukan tersebut mula merungut tentang prestasi permainan yang tidak padan dengan bajet gah itu.
Aksi pemain TFC semasa menentang Selangor FC di Stadium MBPJ pada 18 April lalu. — Facebook/ Terengganu FC.
"Beberapa musim sebelum ini kita tidak pernah kalah dengan jaringan lebih tiga gol. Musim ini dah ada rekod baharu kalah dengan lima gol.
"Berat sangat (susah) musim ini, Musim ini bajet paling besar tapi prestasi teruk," kata peminat setia TFC, Shukrie Rieey.
Bukan itu sahaja, menyedari pertahanan skuad Penyu yang kurang memuaskan dalam perlawanan sebelum ini, seorang pemerhati bola sepak, Muhammad Hamizan menyarankan jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner untuk memperbaiki perkara tersebut dalam perlawanan seterusnya.
"Kita harap coach Tomi belajar daripada kesalahan yang lepas dari defend yang bocor dan perbetulkan apa yang patut dari (posisi) tengah.
"Kita juga harap Sony Nordé dan Sardor Kulmatov bersedia, pemindahan jendela kedua harap dapat ambil Safawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk lengkapkan bahagian sayap.
"Jadi kita tidak perlu guna (pemain) import di bahagian sayap, mungkin kita boleh letakkan tiga pemain import di bahagian tengah, satu pertahanan dan tengah hadapan," ujarnya panjang lebar.
"Dengan taktikal sedia ada, kena katok (belasah) dengan Sri Pahang ni," kata Tengku Mohd Irfan pula.
Walaupun prestasi Sri Pahang FC ketika ini dikatakan tidak memuaskan, namun ia tidak bermakna TFC boleh mendabik dada di laman sendiri.
Oleh itu, segala strategi dan taktikal yang mantap perlu dikaji semula bagi memastikan rancangan menghancurkan rekod tanpa kalah skuad Tok Gajah dapat direalisasikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram