SEJAK kebelakangan ini, tumpuan asyik diberikan kepada pemain penyerang Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah yang dilihat bukan sahaja semakin hebat dalam permainan, malah peribadinya di luar padang turut mencuri hati peminat pasukan tersebut.
Baru-baru ini, penyerang import itu mula menunjukkan taringnya menentang Kuching FC dengan meraih kemenangan 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Aksi mengejutkan itu sekali gus berjaya meraih keyakinan penyokong kembali kerana ada yang mengatakan prestasinya sebelum ini kurang cemerlang.
Selain aksi permainan yang bertambah baik, Mintah juga dilihat mula mendalami agama Islam dan rapat dengan komuniti di Terengganu.
Mana tidaknya, awang tinggi lampai beragama Kristian itu baru-baru ini juga membawa 10 orang anak yatim dari Kampung Gong Kapas, Terengganu ke sebuah pusat beli-belah untuk memilih sendiri pakaian raya yang disukai.
Rasa gembira dan puas berbuat amal tersebut jelas terpancar pada wajah pemain import berusia 28 tahun itu.
Tidak cukup dengan itu, Mintah pada tahun ini juga cuba berpuasa, malah dikatakan bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan keluarga angkatnya di Terengganu.
Dengan keperibadiannya yang sangat mudah didekati, tidak hairanlah peminat skuad Penyu itu semakin sayang terhadap pemain kelahiran Ghana itu hari demi hari.
Pemain TFC selepas menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa. — Facebook/ Terengganu FC
"Tak salah kalau Mintah akan jadi Mat Dan kerana cintakan Terengganu dan terus mempelajari budaya masyarakat Terengganu selain belajar agama Islam.
"Insya-ALLAH suatu hari nanti Mintah boleh jadi pemain naturalisasi Terengganu," kata Ahmad Muzir Aripin.
Selain itu, ada segelintir peminat TFC menyifatkan gaya Mintah dengan mengangkat tangan seperti ingin melaungkan azan selepas menjaringkan gol sebagai tanda beliau mula mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam.
"Fuh, fikir juga tentang (gaya) celebration baru dia ini, another level sungguh Mintah, lagi satu kalau perasan dia sangat baik dengan teammate," kata Hariz Manan.
"Dia buat gaya (laung) azan itu macam bagi hint dia akan peluk agama Islam satu hari nanti. Semoga dipermudahkan urusan Mintah.
"Kami rakyat Terengganu sangat berbesar hati untuk menerimamu sebagai saudara baharu," kata Aix R.
Melihat kepada reaksi positif dan sokongan padu yang diberikan kepada pemain import, diharap dia terus cemerlang mengekalkan momentum dan karakter seimbang sama ada di dalam atau luar padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram