PIHAK Terengganu FC (TFC) menafikan dakwaan mengenai padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Gong Badak, Terengganu mengalami kerosakan.
Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh memberi jaminan bahawa pihaknya sudah menyediakan hampir 99 peratus untuk Harimau Malaya yang datang bertandang pada Jun nanti.
Stadium keramat skuad Penyu itu dipilih sebagai gelanggang skuad Harimau Malaya untuk dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Kepulauan Solomon dan Yaman Jun ini.
"Stadium ini telah dijaga dengan rapi dan sentiasa berada di tahap terbaik. Keadaan permukaan padang dalam keadaan yang baik. Stadium 99 peratus tersedia,” katanya memetik laporan dari Stadium Astro.
Pemilihan stadium yang punyai kapasiti 50,000 penonton itu dilihat satu keputusan tepat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas faktor kualiti padang.
Menggunakan jenis rumput Bermuda Princess 77, gelanggang keramat skuad Peteh itu mampu menawarkan corak permainan menghiburkan daripada pertembungan itu nanti.
Bukan sahaja penyokong skuad kebangsaan, malah dua pemain Harimau Malaya juga iaitu kapten pasukan Selangor FC, Brendan Gan dan tonggak naturalisasi, Paulo Josue teruja beraksi di SSMZA. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram