SENTUHAN berbisa penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva sememangnya memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu muncul sebagai salah sebuah kelab terbaik dalam sejarah bola sepak tanah air.
Musim lalu, 29 gol yang dijaringkan dalam hanya 19 penampilan cukup membanggakan, yang mana membolehkannya muncul sebagai pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super untuk dua tahun berturut-turut.
Statistik yang cukup hebat itu menarik perhatian ramai pihak, termasuk agensi media antarabangsa yang cukup kagum dengan pulangannya di hadapan pintu gol.
Bukan itu sahaja, kehebatan yang semakin disebut-sebut terbabit juga menyebabkan kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Sharjah FC tertarik akan khidmatnya.
Namun, dengan perkara itu hanya berstatus khabar angin, Bergson akhirnya memilih untuk kekal di Selatan tanah air untuk musim yang ketiga.
Tetapi, baru-baru ini, sebuah lagi kelab ternama, iaitu Wrexham AFC dikatakan cukup tertarik dengan kebolehan penyerang kelahiran Brazil berkenaan.
Wrexham bakal beraksi dalam divisyen profesional bola sepak England buat kali pertama. — Agensi
Kelab berpangkalan di Wales itu sebelum ini mencuri perhatian selepas muncul sebagai juara liga kerdil yang melayakkan mereka ke divisyen bawahan profesional England.
Selain itu, mereka yang dimiliki dua pelakon terkenal Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney menarik perhatian media antarabangsa.
Jadi, dengan Wrexham bakal bersaing dengan lebih sengit musim depan, mereka pastinya mahu mencari seorang penyerang yang mempunyai sengat berbisa di hadapan gawang lawan.
Dalam mencari calon terbaik itu, penyokong kelab, @wrexhamfcbrazil menasihati pihak pengurusan kelab untuk mendapatkan khidmat penyerang JDT itu.
"Bergson boleh dianggap sebagai seorang raja di Malaysia, rekod pemain itu cukup mengejutkan. Pada 2021, dia berjaya menjaringkan 23 gol dalam 24 penampilan.
Pencapaian Bergson sememangnya sukar untuk disangkal. — Twitter/@wrexhamfcbrazil
"Pada musim lepas pula, dia menjaringkan 29 gol dalam 19 penampilan. Bergson sudah beraksi dengan cukup baik berbanding mereka yang lain," ciap penyokong dari Brazil itu.
Selain pernah beraksi bersama skuad Harimau Selatan, pemain tersebut juga pernah berpeluang meraih pengalaman di beberapa kelab Brazil, termasuk Fortaleza serta Athletico Paranaense.
Kebolehannya itu juga terserlah ketika beraksi di tanah kelahirannya selepas muncul penjaring terbanyak divisyen kedua negara Amerika Selatan itu.
Jadi, dengan Wrexham mempunyai tugas besar musim depan, tidak hairanlah nama Bergson mula disebut-sebut bagi menajamkan lagi jentera serangan mereka.
"Pada saya, Liga Malaysia boleh dianggap setaraf dengan divisyen bawahan di England. Saya juga percaya Bergson mampu beraksi dengan cukup baik jika menyertai kita," katanya.
Musim ini, kecederaan yang dialami penyerang berusia 32 tahun itu sedikit sebanyak menyekat jaringan peribadinya dengan hanya tiga gol direkodkan daripada lima penampilan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram