Strategi 'parking bus' The Cops buat Esteban anggap aksi di MBPJ paling membosankan


  • Podium
  • Khamis, 20 Apr 2023

Antara aksi pemain JDT ketika perlawanan menentang PDRM FC di Stadium MBPJ pada Rabu. — Facebook/JDT

STRATEGI ‘parking bus’ yang digunakan oleh pasukan PDRM FC nampaknya membuahkan hasil untuk mengelak Johor Darul Takzim (JDT) berpesta gol dan hanya mencatat kemenangan 1-0 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.

Dalam perlawanan itu, JDT dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis hasil jaringan Fernando Forestieri pada minit ke 61.

Di kala kem skuad The Cops gembira menjadi pasukan yang mencatat paling kurang dibolosi, pengendali JDT, Esteban Solari pula menyifatkan ia adalah satu perlawanan yang membosankan dan bukanlah sebagai satu aksi yang mencabar buat juara bertahan Liga Super itu.

Perlawanan yang menyaksikan skuad Sang Saka Biru itu bermain secara bertahan tidak menggembirakan pengendali Argentina itu sehingga memberi kesukaran kepada penyerang utama JDT, Bergson Da Silva untuk mencari jaringan pembukaan.

WhatsApp Image 2023-04-20 at 14.03.08

Solari ketika perlawanan menentang skuad The Cops. — Facebook/JDT

“Saya rasa ini perlawanan yang paling membosankan setakat ini. Saya tak pasti jika ia dipanggil sebagai perlawanan yang sukar kerana anda tahu PDRM asyik bermain bertahan dan sering melambatkan masa.

“Saya tak salahkan mereka kerana ia adalah strategi biasa dalam perlawanan bola sepak tetapi saya tidak fikir ia memberi kesukaran kepada kami hari ini.

“Inilah bola sepak, mereka boleh bermain dengan apa-apa strategi. Ia akan jadi lebih menarik jika ada kreativiti dalam melakukan serangan dan seterusnya menghiburkan para penyokong di stadium,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Selain daripada strategi bertahan itu, kecemerlangan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun juga meraih perhatian apabila berhasil menafikan beberapa percubaan berbahaya termasuk sepakan penalti Bergson.

Kemenangan tipis itu membolehkan JDT terus menduduki tempat pertama Liga Super dengan rekod tanpa kalah daripada sembilan perlawanan setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram