SAMBIL Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih ternanti-nanti dan peminat pula tertanya-tanya, Penang FC harus dalam keadaan paling tidak diingininya berkait dengan barisan kejurulatihannya ketika ini.
Kedudukan Chong Yee Fatt selaku ketua jurulatih belum dapat diputuskan manakala status Manzoor Azwira Abdul Wahid yang menjalankan tugas ketua jurulatih sementara pula tidak diiktiraf badan pentadbir Liga Super itu.
MFL sudah dimaklumkan oleh Penang FC mengenai keadaan Yee Fatt yang mengalami masalah jantung dan dinasihatkan berehat oleh doktor selama enam minggu sejak 30 Mac lalu.
“Yee Fatt sedang bercuti sakit kerana mengalami serangan jantung. Dia mendapat cuti sakit selama sebulan.
“Kami akan menilai semula (kesnya) sejurus kami mendapat laporan perubatannya selepas dia menjalani pemeriksaan pertama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, kepada Majoriti.
Mengenai tempoh pelantikan sementara pula, dia menjelaskan durasi 14 hari yang diperuntukkan bagi tujuan itu hanya terpakai apabila berlaku pemecatan.
Dalam kes Yee Fatt, dia bukan dipecat atas alasan kemerosotan prestasi pasukan, sebaliknya bercuti sakit dan kontraknya selaku ketua jurulatih masih berjalan.
Yee Fatt ketika dilawat oleh pihak pengurusan Penang FC. — Facebook/Penang FC
“Bagi kes seperti ini, ia terpulang kepada MFL untuk menilainya dengan pertimbangan terhadap kes dan situasi. Kami akan menimbangkannya sejurus cuti sakit Yee Fatt tamat.
“Jika doktor mencadangkan rehat lebih panjang diperlukan berdasarkan penilaiannya selepas enam minggu, maka kami akan mengeluarkan arahan agar dia (Yee Fatt) digantikan.
“Tapi, buat masa ini, ia hanya membabitkan cuti sakit dan MFL juga harus mengambil kira kebajikan kelab di mana sesuai,” jelas Stuart lagi.
Seperkara lagi, daripada perspektif bola sepak, MFL tidak menggalakkan pelantikan jurulatih sementara daripada kalangan yang tidak layak, yang dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai masalah daripada segi pelesenan kelab.
Lantaran itu, MFL berpendirian ketua jurulatih yang dipecat susulan kemerosotan prestasi pasukan harus digantikan sementara oleh pengarah teknikal pasukan yang lazimnya memiliki lesen pro yang dikeluarkan persekutuan bola sepak benua masing-masing.
Ini berlaku ketika B. Sathianathan dipecat selaku ketua jurulatih Selangor pada 21 September 2020 dan tempatnya digantikan sementara oleh Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner.
Laman harimaumalaya.com.my pada 10 Oktober lalu melaporkan Penang FC telah memohon kepada MFL agar Manzoor Azwira menjadi pengendali sementara pasukan.
Namun, kata laporan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL sebelum ini pernah menolak permohonan Penang untuk meletakkan Manzoor Azwira sebagai ketua jurulatih interim sehingga dia mendapatkan lesen pro.
Di samping itu, Manzoor Azwira pula baru-baru ini menimbulkan kecoh dalam kalangan penyokong apabila meluahkan rasa kecewanya terhadap peminat selepas Penang FC menang ke atas Kelantan United FC 2-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 18 April.
Dalam hantaran di laman Facebook peribadinya, jurulatih berusia 46 tahun itu terkilan dengan penyokong yang masih melemparkan komen negatif terhadap pasukan di sebalik banyak kekangan dihadapinya dalam menguruskan skuad Harimau Kumbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram