MESKIPUN diberikan peluang mengisi kesebelasan utama dalam hampir kesemua perlawanan awal liga, penyerang Perak FC Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak masih gagal menamatkan kemarau jaringan yang dihadapi.
Prestasi semasa ditunjukkan penyerang muda itu mula menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus (TBG).
Mana tidaknya, ini kerana Hadi Fayyadh yang pernah menimba pengalaman di Jepun itu merupakan antara rekrut utama dibawa masuk pihak pengurusan bagi memperkuatkan pasukan pada musim ini.
Bagaimanapun, selepas sembilan perlawanan diharungi, dia dilihat masih gagal memberikan pengaruh seperti diharapkan terutamanya di barisan hadapan.
Malah, kritikan dilemparkan penyokong terhadap prestasinya permainannya juga kian bertambah dalam beberapa perlawanan terakhir dihadapi Perak FC.
Terdapat penyokong yang turut meminta pengendali TBG, Datuk Lim Teong Kim bagi merehatkannya dalam perlawanan seterusnya.
Fayyadh sentiasa dipilih Teong Kim (gambar) untuk mengisi kesebelasan utama pada musim ini. — Facebook/PerakFC
"Hadi Fayyadh tu tak tau la nak passing bola terhidang macam mana lagi baru boleh score," ujar Fakrul Hizam.
"Lebih baik Hadi tu tukar dengan pemain lain lain. Dah tengok banyak game dah memang tak boleh pergi," tulis Kerul Nijam.
"Hadi Fayyadh...tolong lah, improve sikit main...biar ada up sikit level main dari pemain lain," Ahmad Mizuan.
Dalam pada itu, terdapat juga penyokong berpendapat Hadi Fayyadh perlu dipertimbang diturunkan ke skuad Perak II yang beraksi di liga simpanan, Piala MFL bagi memberi ruang kepadanya mendapatkan rentak jaringan.
"Cuba bagi Hadi Fayyadh asah taring dekat pasukan Perak II, dekat Liga Super macam payah betul nak jumpa pintu golnya," kata Rey Man.
Untuk rekod, Hadi Fayyadh sentiasa menjadi penyerang pilihan utama Teong Kim apabila utama diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam lapan daripada sembilan aksi Liga Super musim ini.
Hadi Fayyadh yang kini berusia 23 tahun memulakan karier profesionalnya sebagai pemain bola sepak bersama Johor Darul Takzim (JDT).
Hadi Fayyadh ketika beraksi menentang Negeri Sembilan FC pada Rabu lalu. — Facebook/PerakFC
Bagaimanapun, sepanjang dua tahun di kelab gergasi bola sepak negara itu, dia gagal untuk menembusi skuad utama pasukan Harimau Selatan.
Selepas tidak menyambung kontrak bersama JDT, Hadi Fayyadh mengambil keputusan berhijrah ke Jepun selama empat tahun.
Sepanjang beraksi di negara Matahari Terbit itu, dia mewakili dua pasukan iaitu Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu yang masing-masing bermain dalam liga bola sepak divisyen dua dan tiga Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram