TERENGGANU FC (TFC) gagal meneruskan momentum kemenangan yang diperolehi dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super apabila tewas dengan jaringan besar di tangan Selangor FC 1-5 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa.
Pasukan Gergasi Merah membuka jaringan melalui penyerang importnya, Ayron Del Valle pada minit ke-16 sebelum pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim menambah jaringan dengan menyumbat gol pada minit ke-20 sebelum melebarkan jurang gol pada minit ke-39.
Pada aksi separuh masa kedua, TFC berjaya merapatkan kedudukan hasil tandukan daripada pemain gantiannya, Ivan Mamut pada minit ke-60.
Bagaimanapun, Ayron kemudiannya mencetak gol kedua peribadinya dalam perlawanan pada minit ke-70 selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid cuba dilakukan barisan pertahanan skuad Sang Penyu.
Pemain muda Selangor FC, Aliff Haiqal kemudiannya menambah derita Skuad Sang Penyu dengan gol kelima hasil rembatan deras dilakukan pada minit ke-83.
Kekalahan 1-5 direkodkan dalam aksi di Stadium MBPJ pada Selasa itu merupakan kekalahan terbesar TFC pada musim ini. — Facebook/SelangorFC
Melihat kepada aksi dipamerkan, rata-rata penyokong skuad Sang Penyu kecewa dengan persembahan yang disifatkan agak kurang bermaya ditonjolkan pasukan.
Malah ada antara mereka menyifatkan prestasi ditonjolkan itu memberi petanda bahawa barisan pemain dimiliki TFC tidak mampu bersaing dengan pasukan di kelompok teratas liga.
"Ni gaya permainan bukan tiga mata, tapi putih mata," kata Razali Mohd.
"TFC kalau lawan team kerdil dari Liga Perdana boleh la menang. Kalau lawan pasukan kuat dari Liga Super, susah nak menang," ujar Mohd Azizi Hamat.
"Memang kena la dengan corak permainan pasukan pertengahan liga," ujar Muhammad Azwan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram