Aidilfitri: Lebih 3 juta kenderaan dijangka guna Lebuhraya Karak-LPT1, anak perantau disaran keluar seawal 10 pagi


  • Primer
  • Sabtu, 15 Apr 2023

Kesesakan di hadapan Plaza Tol Gombak yang lazimnya berlaku setiap kali perayaan termasuk Aidilfitri.

SYARIKAT pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan aliran trafik meningkat sehingga lebih tiga juta kenderaan di kedua-dua lebuh raya berkenaan susulan cuti perayaan Aidilfitri bermula minggu depan.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur mengalami peningkatan bermula 19 April hingga 21 April, manakala kesesakan lalu lintas menghala ke Kuala Lumpur akan bermula 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei nanti.

"Pihak kami berharap agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan jangkaan aliran trafik meningkat semasa musim perayaan.

"Kami akan membuat edaran Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong pada Ahad ini selain membuat hantaran di laman sosial ANIH BERHAD sebagai rujukan pengguna lebuh raya," katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.

Dalam pada itu, ANIH Berhad mencadangkan agar pengguna dari Kuala Lumpur dan Selangor yang ingin ke Pahang pada 19 hingga 21 April melakukan perjalanan pada 10 pagi hingga 2 petang atau 8 malam hingga 11 malam, Terengganu (6 pagi hingga 10 pagi atau 8 malam hingga 11 malam) dan Kelantan (6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam) manakala 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi semua destinasi.

Bagi perjalanan pulang ke ibu negara pada 24, 25 dan 30 April serta 1 Mei, pengguna dari Pahang digalakkan memasuki tol pada 8 pagi hingga 10 pagi atau 3 petang hingga 5 petang, pengguna dari Terengganu dicadangkan masuk Plaza Tol Jabor pukul 11 pagi hingga 1 petang atau 6 petang hingga 8 malam.

Tambah beliau, pengguna dari Kelantan pula disarankan memasuki Plaza Tol Bentong pada 3 petang hingga 5 petang atau 10 malam hingga 12 tengah malam.

Waktu perjalanan bas ekspres ke destinasi Pantai Timur memasuki Plaza Tol Gombak pula ialah 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam dengan kenderaan ringan disaran mengelakkan memasuki Plaza Tol itu pada waktu tersebut.

Sementara itu, Radzimah berkata, ANIH Berhad komited dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini, termasuk menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongannya di plaza tol.

Selain itu, pihaknya turut menempatkan lebih 140 anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya disamping meningkatkan jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik sebanyak 20 peratus bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh tersebut.

Beliau turut meningatkan supaya pengguna memastikan baki e-dompet dan kad Touch N’Go mencukupi demi mengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Aidilfitri, LPT1, KLK, Karak, Pantai Timur, trafik, Gombak