KEMENANGAN tipis 1-0 yang dicatatkan Sri Pahang FC ketika menentang Kuching City FC dalam aksi kesembilan Liga Super memastikan kelab itu terus kukuh di tangga ketiga.
Jaringan pemain tengah, Nor Azam Azih pada minit ke-57 memastikan tiga mata milik skuad Tok Gajah dalam aksi sengit yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak pada Selasa.
Walaupun penyokong berasa kurang berpuas hati dengan persembahan itu, anak-anak buah Fandi Ahmad pasti berbangga dengan momentum pasukan ketika ini.
Manakan tidak, pasukan Pantai Timur terbabit masih belum mencatatkan sebarang kekalahan musim ini dengan lima daripadanya berakhir dengan kemenangan.
Selain itu, Sri Pahang FC juga terus cemerlang di benteng pertahanan dengan hanya enam gol dibolosi setakat sembilan perlawanan.
Dalam menyuntik semangat buat skuad Tok Gajah, pelbagai usaha pastinya cuba dilakukan pihak pengurusan, lebih-lebih lagi dengan mereka sudah lama merindukan zaman kegemilangan.
Jaringan Azam (kiri) memastikan kemenangan memihak kepada skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Malah, legenda Sri Pahang, Dickson Nwakaeme juga tidak mahu melepaskan peluang itu dengan menghantar satu mesej ringkas menerusi Instagram peribadinya.
"Tahniah rakan-rakanku," tulisnya sebagai komen terhadap hantaran pasukan selepas mencatatkan kemenangan bermakna ke atas skuad The Cats.
Ucapan ringkas berkenaan sememangnya cukup memberi kesan kepada rata-rata penyokong Sri Pahang yang amat merindui kelibat penyerang bertubuh sasa itu.
"Marilah pulang dan kembali bermain bersama kami, Nwaekeme," kata rizkisuhairi04.
"Jadilah jurulatih bersama kami semula, kesian nampaknya Sri Pahang ketika ini," kata mzlwqrazfar_.
"Harapnya anda boleh berikan pasukan ini dengan bakat-bakat terbaik dari Nigeria," kata mohd_eja pula.
Nwaekeme sememangnya figura cukup ternama dalam kalangan pengikut setia Sri Pahang apabila pernah membantu mereka merangkul Piala Malaysia dan Piala FA pada 2014.
Tidak cukup dengan itu, tubuhnya yang sasa membantu jentera serangan pasukan dengan kemampuannya untuk menghidu peluang jaringan menerusi gerakan liciknya di atas padang.
Selepas menikmati satu musim yang cukup prolifik, pemain yang kini berusia 37 tahun itu memilih untuk berkelana ke Perancis untuk menyertai Angers SCO.
Bagaimanapun, dengan dia terus bergelut untuk mendapatkan rentak di luar negara, Nwaekeme kembali menyertai Pahang pada 2019 dengan kontrak sepanjang semusim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram