SABAH FC segera melupakan kekecewaan mereka selepas gagal mengutip mata penuh dalam tiga aksi Liga Super di gelanggang lawan apabila membenam Kelantan FC 6-1 pada Rabu di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Kemenangan tersebut secaa tidak langsung dapat menggembirakan kembali kem Sang Badak yang sebelum ini disi dengan kekecewaan kerana hanya meraih dua kekalahan dan satu seri dalam saingan Liga Super 2023 di bumi Semenanjung.
Jaringan awal Sabah FC diraih menerusi tonggak pertahanan kiri, Daniel Ting yang meledak dua gol masing-masing pada minit ketiga dan ke-10.
Pada babak kedua pula Dominic Tan menambah jaringan Sabah FC pada minit ke-47 selepas bek kanan skuad The Red Warriors (TRW), Miguel Cifuentes berjaya melakukan rembatan deras ke dalam gawang gol pasukan Sabah.
Pasukan Borneo itu terus menambah luka kepada kem Kelantan FC apabila meledak tiga jaringan yang disempurnakan oleh Baddrol Bakhtiar minit ke-61, Stuart Wilkin (75’), dan Telmo Castanheira menokhtakan perlawanan dengan jaringan pada minit ke-90.
Pada malam yang penuh gemilang buat Sabah FC itu juga menyaksikan Daniel dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas usahanya meledak dua jaringan gol buat pasukan Sang Badak.
Daniel bersama rakan sepasukannya meraihkan jaringan gol yang diledaknya pada babak pertama perlawanan. — Facebook/SabahFC
Malah, kualiti permainan yang ditunjukkan pemain warisan England-Malaysia itu juga mendapat pujian daripada bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Legenda Pahang itu menyifatkan bahawa pemain berusia 31 tahun itu mempunyai kualiti seperti pemain Johor Darul Takzim (JDT), Corbin Ong dan sekali gus boleh memberi nafas baharu kepada posisi pertahanan kiri Harimau Malaya.
“Daniel Ting boleh dikatakan carbon copy kepada Corbin Ong. Dan disinilah kita dapat lihat defensive, offensive mereka begitu mendatangkan extra effort bila pasukan membuat serangan. Kerana kedua-dua mereka akan end up berada dalam kotak.
Corbin merupakan bek kiri terbaik di Malaysia kini. — Facebook/JDT
“Dan juga kita dapat lihat bila bola hilang, mereka akan kembali ke posisi mereka dengan laju. Bermakna tugas utama adalah defensive tapi tugas kedua mereka memberi more effrot kepada serangan. Dari situ, pergerakan serangan mempunyai kelebihan,” katanya ketika menjadi pundit di Astro Arena dalam aksi Sabah menentang skuad TRW.
Selain beraski di posisi sama, Daniel juga dikatakan jelmaan Corbin susulan kedua-duanya mampu memberi bantuan kepada bahagian serangan meskipun mereka ditugaskan untuk menjaga kubu pertahanan.
Sejak menyertai Sabah pada awal musim ini sebagai pemain pinjaman dari Harimau Selatan, Daniel sudah meledak empat gol dan dua hantaran bantuan untuk The Rhinos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram