Prestasi ‘menjunam’, Perak janji bangkit lepas cuti raya 


  • Podium
  • Khamis, 20 Apr 2023

Pemain Perak perlu melakukan perubahan pada corak permainan bagi melepaskan diri daripada tersenarai kumpulan terendah. — Facebook Perak Football Club 

SEJAK perlawanan pertama Liga Super pada Februari lalu, Perak FC seperti sudah mempamerkan aksi kurang memberangsangkan. Bukan sahaja kutipan mata, bahkan jaringan juga dilihat hambar melainkan sesekali sekadar berpuas hati dengan satu atau dua gol.

Prestasi sebegitu tentu sahaja membuatkan posisi skuad The Bos Gaurus semakin lama semakin menuju ke arah senarai kumpulan corot.

Situasi tersebut sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong yang mengharapkan agar Perak melakukan perubahan selepas perlawanan Liga Super dihentikan seketika bagi menyambut Aidilfitri.

Perkara itu turut menjadi harapan bagi ketua jurulatih Datuk Lim Teong Kim kepada barisan pemain agar menjadikan kesempatan berhari raya ini sebagai peluang untuk mengecas semula tenaga.

342354332_205674272207371_4669158323875958224_n

Meskipun seri 1-1 dengan Negeri Sembilan, Teong Kim tetap pertahankan anak buahnya. — Facebook Perak Football Club

Menurut Teong Kim, dia mengharapkan agar sebaik sahaja pulang bercuti nanti, pemain mampu tampil dengan dimensi dan jati diri baharu.

“Saya yakin semua pemain sudah memberikan yang terbaik dalam diri mereka. Saya tidak menafikan tentang itu.

“Ini memberikan saya harapan positif. Harapan yang baik selepas kembali cuti raya, saya pasti kita akan lebih mantap,” katanya dalam rakaman sidang media di YouTube Flash Sukan.

Dalam pada itu, Teong Kim juga memberikan reaksi, dia berpuas hati dengan prestasi ditonjolkan dalam aksi perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Rabu di laman sendiri.

321019779_468259595512741_7917219686768528091_n

Teong Kim yakin Hadi Fayyadh mampu membantu pasukannya pada perlawanan akan datang. — Facebook Perak Football Club

Teong Kim juga enggan meletakkan kesalahan atas kegagalan Perak untuk membuat lebih jarangan di atas bahu penyerang, Hadi Fayyadh kerana tidak dapat membuat sebarang jaringan pada malam itu.

“Memang kita dapat banyak peluang, tetapi peluang kita tidak memberi sebarang hasil. Pemain juga sudah memberikan segala yang mereka ada.

“Saya tidak boleh mengatakan timing salah atau apa saja kerana tiada jawapan yang boleh dikatakan kepada masalah itu.

“Fayyadh sudah bekerja dengan cukup baik. Saya pasti dia ingin menjaringkan gol. Tetapi itu tidak mengapa, dalam perlawanan lain nanti dia akan menjaringkan gol,” terangnya.

Untuk rekod, Perak yang kini berada pada kedudukan ke-11 dengan pungutan enam mata menerusi sembilan perlawanan.

Perak yang seri 1-1 dengan NSFC itu bakal bertemu dengan Kelantan FC pada 28 April depan di Stadium Sultan Muhammad IV. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram