
EMPAT kekalahan berturut-turut yang dialami Perak FC dalam saingan Liga Super menyaksikan pasukan berkenaan gagal mencari rentak terbaik selepas lapan perlawanan.
Kegagalan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-11 liga dengan hanya lima mata dikumpul.
Lebih merisaukan lagi, jentera serangan skuad The Bos Gaurus (TBG) juga terlalu tumpul selepas hanya empat gol bejaya dijaringkan setakat ini.
Oleh itu, pihak pengurusan pastinya sedang dalam tekanan selepas membuat pelaburan besar-besaran, termasuk melunaskan gaji tertunggak.
Ia turut dibebankan lagi dengan prestasi yang kurang memberangsangkan Perak FC II dalam saingan Piala MFL yang juga bergelut untuk bersaing bersama pasukan lain.
Perak FC II tumpas di tangan Sri Pahang FC dalam aksi Piala MFL yang berlangsung pada Isnin. — Facebook/Perak FC
Selepas lima perlawanan, anak-anak buah Yusri Che Lah hanya mencatatkan satu kemenangan di samping merekodkan dua keputusan seri.
Prestasi terumbang-ambing itu menyaksikan pasukan itu berada di kedudukan kelima Kumpulan B Piala MFL di belakang Negeri Sembilan FC di tangga keempat.
Baru-baru ini, mereka terlepas peluang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata selepas tewas di tangan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Isnin.
Keputusan pengadil untuk memberikan penalti pada minit-minit akhir permainan pastinya sukar diterima apabila didapati bola terkena tangan Nik Umar Nik Aziz ketika waktu kecederaan.
Hal itu pastinya cukup mengecewakan rata-rata penyokong yang hadir untuk memberi sorakan semangat, namun gagal menerima satu persembahan bersemangat.
Perak FC II berada di kedudukan kelima Kumpulan B Piala MFL selepas lima perlawanan. — Facebook/MFL
Namun, bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin, pasukan kendalian Yusri Che Lah hanya tidak bernasib baik dalam aksi berkenaan.
Perasaan itu diluahkan menerusi satu akaun Facebook TBG Super Fans yang difahamkan milik Bobie berdasarkan komen dan perkongsian di laman terbabit.
"Aku tengok perlawanan OK je sebenarnya, namun secara statistik, penjaring gol utk Perak FC II adalah Alif Zikri dan Hakimi Isa.
"Bagi aku, barisan pertahanan cukup baik dan sangat terkawal selain kita memang jangka selepas Che Suhairi dan Alif Zikri dipanggil untuk skuad senior, pasukan simpanan nampak tumpul di barisan hadapan," katanya.
Selepas kekalahan itu, Perak FC II perlu menambah baik kedudukan sekiranya mahu layak ke peringkat seterusnya dalam Piala MFL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram