CEO Perak FC ada jawapan status Gabriel Guerra ke The Bos Gaurus


  • Podium
  • Ahad, 16 Apr 2023

Bobie menegaskan bahawa khabar angin Guerra ke Perak FC adalah tidak benar. — Facebook/ Perak FC

SEBELUM ini kecoh dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan mengenai desas-desus mengatakan bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Gabriel Guerra bakal kembali ke pentas bola sepak Malaysia.

Khidmat peledak berbisa itu amat didambakan pasukan yang mengalami masalah ketumpulan penyudah. Justeru, ada penyokong yang mengandaikan mungkin dia akan ke Perak FC.

Baru-baru ini, seorang penyokong Perak bertanyakan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang menggunakan akaun Facebook, TBG Super Fan mengenai desas-desus perpindahan Guerra ke The Bos Gaurus.

Begitupun Bobie menerusi akaun TBG Super Fan menegaskan bahawa perkara tersebut tidak benar.

"Gabriel (Guerra) ke Perak?," soal penyokong yang dibalas ringkas TBG Super Fan dengan jawapan 'nope' (tidak).

Screenshot 2023-04-16 164436

Untuk rekod, Guerra pernah beraksi bersama JDT untuk musim 2017 secara pinjaman dari kelab gergasi Argentina, Boca Juniors.

Selepas meninggalkan JDT pada 2017, pemain berketinggian 1.83 meter itu pulang ke Argentina sebelum kembali ke Malaysia dengan menyarung jersi PKNS pada musim 2019.

Begitupun, jodoh bersama PKNS hanya kekal untuk satu musim sahaja sebelum dia pulang ke Argentina semula.

Pada 2020, Guerra dipercayai sekali lagi kembali ke Malaysia untuk beraksi bersama Sarawak United yang pada ketika itu dilatih oleh E. Elavarasan.

Namun begitu, hasratnya untuk beraksi di Malaysia pada musim tersebut tidak kesampaian, selepas Liga Malaysia dihentikan gara-gara penularan wabak Covid-19.

Guerra yang kini berstatus ejen bebas juga pernah dikaitkan dengan Perak FC pada 2022, selepas laman Wikipedia menyenaraikan skuad Seladang sebagai salah satu kelab dalam kerjaya seniornya. Namun tiada penampilan direkodkan bersama The Bos Gaurus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram