Bantu pasukan raih 'clean sheet', Selangor ada tanker baharu saingi Afro


  • Podium
  • Isnin, 17 Apr 2023

Harith ketika beraksi menentang Sri Pahang FC pada Sabtu lalu. — Facebook/SelangorFC

KEMENANGAN selesa 4-0 dicatatkan Selangor FC dalam pusingan ke-16 Piala FA ketika menentang Sri Pahang FC pada Sabtu memberi petanda positif terhadap perkembangan prestasi pasukan Gergasi Merah pada musim ini.

Dengan keputusan tersebut, skuad berpangkalan di Lembah Klang itu kini dilihat menjadi pesaing terdekat kepada Johor Darul Takzim (JDT) untuk musim ini dalam saingan piala itu.

Selangor FC dilihat tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan apabila berjaya merekodkan tujuh kemenangan daripada lapan aksi ditampilkan bagi aksi Liga Super.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan yang diharungi, Gergasi Merah dilihat perlu memperbaiki rekodnya di bahagian pertahanan apabila hanya berjaya mencatatkan tiga kemenangan tanpa bolos daripada lapan perlawanan yang diharungi.

Pada ketika ini, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe dilihat menggunakan Sharul Nazeem yang dikenali dengan panggilan Afro dan pemain import dari Jordan, Yazan Al-Arab sebagai gandingan bek tengah utama bagi mengemudi barisan pertahan pasukan.

Gandingan tesebut telah dipilih untuk beraksi dalam tujuh daripada lapan perlawanan Liga Super.

Bagaimanapun, dengan rekod kemenangan tanpa bolos yang agak kurang baik, barisan pertahanan Selangor FC pastinya memerlukan sedikit penambahbaikan bagi membolehkan pasukan menampilkan kemenangan lebih meyakinkan.

Disebabkan itu, kemenangan tanpa bolos 4-0 ketika menentang Sri Pahang FC yang kini merupakan pasukan di tangga ketiga liga merupakan satu keputusan positif perlu dilihat oleh pasukan terutamanya dalam membina barisan pertahanan lebih ampuh.

Indonesia's Witan Sulaeman (L) fights for the ball with Malaysia's Harith Haiqal bin Adam Afkar in the men's football bronze medal match between Indonesia and Malaysia during the 31st Southeast Asian Games (SEA Games) in Hanoi on May 22, 2022. (Photo by Ye Aung Thu / AFP)

Harith ketika beraksi bersama skuad Harimau Muda.

Apatah lagi, dalam perlawanan tersebut Cheng Hoe membuat keputusan untuk menurunkan gandingan bek tengah yang lain apabila merehatkan Sharul dan menggantikannya dengan Khuzaimi Piee.

Dalam pada itu, turut menarik perhatian adalah seorang pemain muda pertahanan yang pada aksi tersebut diturunkan sebagai pertahanan kiri, iaitu Harith Haiqal.

Baru berusia 20 tahun, aksi tersebut merupakan penampilan pertamanya yang juga pemain Harimau Muda bersama skuad Selangor FC.

Melihat kepada aksi ditunjukkan pada perlawanan tersebut rata-rata penyokong memuji corak permainan dan ketenangan ditonjolkan Harith meskipun dia diletakkan di bukan posisi utamanya iaitu di bek tengah.

Malah, melihatkan kepada ketenangannya, ada penyokong berpendapat kehadiran Harith itu mampu menjadi pengganti kepada Sharul sekiranya pemain bek tengah utama itu mengalami kecederaan atau krisis prestasi.

harith1

Harith dilihat mampu menjadi pengganti kepada Sharul (kiri) yang kini memegang kedudukan sebagai pemain bek tengah utama Sleangor FC. — Facebook/SelangorFC

"Harith lebih menyerlah dan tenang dari Afro. Banyak peningkatan beliau bawah Cheng Hoe. Afro banyak tinggalkan posisi. Ini persaingan yang sihat. Terbaik," ujar PakCu Asyraf.

"Harith memang bek tengah yang bagus. Banyak kali dah main pasukan bawah 23 tahun kebangsaan," tulis Si Faqir.

"Alhamdulillah ada banyak pilihan bek tengah untuk coach Cheng Hoe," ujar Al Azhar Cairo.

Tahun ini merupakan musim ketiga Harith bersama Selangor FC.

Pada musim lalu, anak jati Selangor itu membuat hanya 12 penampilan bersama Gergasi Merah dengan kebanyakan daripadanya sebagai pemain pertahanan tengah.

Dalam skuad utama Selangor FC, Harith kini dilihat merupakan pemain pertahanan tengah keempat pilihan Cheng Hoe, berada di belakang Khuzaimi yang merupakan pilihan ketiga.

Dengan umur yang masih muda, Harith tentunya mampu berkembang menjadi pemain prospek utama yang bakal mengisi barisan pertahanan tengah Selangor pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram