Tomislav pening 3 tonggak cedera hadapi Selangor FC


  • Podium
  • Isnin, 17 Apr 2023

Skuad Penyu berdepan cabaran getir bertemu Selangor FC yang berada pada prestasi terbaiknya ketika ini. — Facebook/ TFC

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui tugas getir menanti anak buahnya apabila bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Selasa.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, walaupun pasukannya telah mendapatkan rentak kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut, ia bukan jaminan untuk Skuad Penyu mencatat kemenangan ke atas Selangor FC yang berada pada prestasi terbaiknya ketika ini.

Lebih menggusarkan, TFC sebelum ini memiliki rekod buruk apabila tewas semua tiga perlawanan di tempat lawan ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) dan pasukan gergasi, Johor Darul Takzim (JDT).

"Kami tahu Selangor FC ada ramai pemain berkualiti. Mereka juga berada di atas kemuncak prestasi mereka.

340832387_754478456273835_7556767018051771665_n

Argzim (kiri) antara pemain yang mengalami masalah kecederaan. — Facebook/ TFC

"Tapi kami juga banyak melakukan penambahbaikan dengan memenangi empat perlawanan berturut-turut. Jadi saya harap pemain kami boleh melakukannya dengan lebih baik dan mengekalkan momentum... sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata dari Selangor malam esok (Selasa),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMA) pada Isnin.

Bagaimanapun Steinbruckner mengakui sedikit 'pening' dengan masalah kecederaan yang dialami beberapa tonggak pertahanannya.

Justeru dia terpaksa meletakkan sandaran penuh kepada trio penyerang iaitu Adisak Kraisorn, Ivan Mamut dan Jordan Mintah yang setakat ini meledak enam gol pada aksi Liga Super dan Piala FA untuk pasukan.

"Argzim (Argzim Redzovic) and Nijey (Shahrul Nizam Ros Hasni) masih cedera dan Sardor (Sardor Kulmatov) dalam keadaan 50-50 untuk diturunkan ataupun tidak esok (Selasa)," katanya.

Sementara itu Kapten Skuad Penyu, Habib Haroon menggesa supaya rakan sepasukannya meningkatkan mutu permainan bagi menghapuskan rekod buruk di tempat lawan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram