Berputih mata anak jati menyerlah di Selangor, fans Pahang tanya mana perginya pemantau bakat?


  • Podium
  • Isnin, 17 Apr 2023

Mukhairi (kanan) ketika beraksi menentang Sri Pahang FC pada Sabtu lalu. — Facebook/SelangorFC

KEKALAHAN besar 4-0 di tangan Selangor FC pada aksi Piala FA pada Sabtu lalu merupakan satu keputusan yang agak mengejutkan buat Sri Pahang FC.

Ini kerana sebelum perlawanan tersebut, Tok Gajah dijangka memberikan saingan yang sengit kepada Gergasi Merah memandangkan kedua-duanya merupakan pasukan yang kini mengisi kelompok teratas liga.

Setakat lapan aksi Liga Super 2023, skuad Tok Gajah berjaya menempatkan diri di kedudukan tiga teratas hasil daripada 16 mata yang dipungut, kurang hanya tiga mata di belakang Selangor FC yang berada di tempat kedua liga.

Disebabkan itu, kekalahan besar yang dialami itu sedikit sebanyak merencatkan moral penyokong Sri Pahang FC yang pastinya mengharapkan keputusan lebih baik untuk pasukan.

Pada masa sama, lebih menambahkan garam pada luka dialami penyokong Tok Gajah, dua jaringan yang dihasilkan oleh pasukan lawan pada aksi tersebut datang daripada pemain anak jati Pahang FC, iaitu Mukhairi Ajmal.

Dalam aksi tersebut, pemain tengah berusia 21 tahun kelahiran Sungai Lembing itu berjaya membolosi gawang Tok Gajah hasil daripada dua rembatannya yang masing-masing terhasil pada minit ke-41 dan ke-58.

Created with RNI Films app. Profile 'Agfacolor 40's'

Mukhairi berjaya menyumbat dua gol bagi membantu Selangor FC menewaskan Sri Pahang FC pada saingan Piala FA Sabtu lalu. — Facebook/SelangorFC

Ekoran daripada itu, penyokong turut mempersoalkan mengenai keupayaan pengurusan pasukan negeri dalam merekrut bakat-bakat bola sepak yang lahir daripada bumi Pahang.

Ini kerana menurut mereka, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Pahang bukan sahaja kehilangan Mukhairi, tapi juga beberapa pemain muda berbakat besar lain yang kini menjadi nama besar dalam bola sepak tempatan.

Antara nama yang ditimbulkan adalah Arif Aiman, 20 yang beraksi bersama gergasi bola sepak negara, Johor Darul Takzim (JDT).

Walaupun Arid bukan kelahiran Kelantan tetapi tonggak sayap JDT itu pernah berguru di bumi Mat Kilau.

Selain itu, kegagalan untuk mengekalkan Faisal Halim, 25, ketika pemain itu beraksi bersama Pahang selama beberapa tahun sejak 2016 hingga 2021 turut dipersoalkan.

Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey kini merupakan tonggak utama bahagian serangan Selangor FC dan juga pasukan kebangsaan.

WhatsApp Image 2023-04-16 at 10.11.00 PM

Arif (kiri) merupakan anak kelahiran Pahang manakala Faisal pula pernah bersama pasukan Pahang selama beberapa musim. — Facebook

"Pencari bakat buat apa. Ke tak wujud? Lepas tu sibuk kata JDT curi ubi..Selangor sailang player...dulu masa Mickey pergi ada cakap tentang bab fizikal, badan kecil biarlah dia pergi.

"Tetapi kita lupa Diego Maradona fizikal tidak tinggi tetapi berjaya capai tahap tertinggi dalam hidupnya. Masa kecillah dibentuk" ujar Hogoh Pahang Hogoh.

Iz Senas pula menulis, "Ada pemain bagus dia lepaskan. Ada pemain muda, muda sekarang ni pun tak mahu pakai. Taktikal apa yang dipakai tu tak tahu la."

"Pahang negeri paling besar dekat Semenanjung. Takkan tidak ada dua tiga orang macam Mickey atau Arif Aiman," ujar Shahril Bhaitusha.

"Pahang pernah melahirkan ramai pemain bola sepak yang berbakat tapi kini lihat menjadi pasukan dilihat tidak konsisten dari segi pengurusan, kewangan, kejurulatihan dan pemain. Di mana silapnya? Tepuk dada tanya diri sendiri," ujar Ritchie Rich.

Untuk rekod, kali terakhir Pahang merangkul piala di peringkat domestik adalah melalui Piala Sumbangsih pada 2014.

Sebelum itu, Pahang juga memiliki sejarah kejuaraan panjang di dalam negara apabila pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak empat kali, Liga Super (lima kali) dan Piala FA (tiga kali). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram