TINDAKAN membakar suar selepas perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) adalah dilarang dan perkara berkenaan juga termaktub di peraturan Artikel 70.1 Kod Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam peraturan berkenaan menegaskan jika sabit kesalahan, sesebuah pasukan Liga M boleh dikenakan denda berjumlah puluhan ribu ringgit.
Namun lain pula jadinya apabila pasukan Johor Darul Takzim (JDT) tidak dikenakanmendapat sebarang tindakan walaupun perkara berkenaan sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk mengambil tindakan.
Hal tersebut dibangkitkan semula apabila pada perlawanan terbaharu skuad Harimau Selatan iaitu ketika menentang PDRM FC, penyokong kelab juara bertahan Liga Super itu masih melakukan aktiviti tersebut.
Tindakan membakar suar itu dilakukan selepas kejayaan pasukan Selatan tanah air itu dengan mudahnya menumpaskan skuad The Cops 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat bagi saingan Piala FA 2023.
Sebelum ini, penyokong skuad Harimau Selatan kembali membakar suar selepas tamat perlawanan Liga Super iaitu ketika aksi menentang Sabah FC yang berakhir dengan 4-0 dan ketika tundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0.
Suasana selepas skuad Sang Kenari tumpas 0-6 di tangan JDT.
Ketiga-tiga tindakan membakar suar selepas perlawanan di SSI menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong lain mengenai tindakan susulan dari pihak FAM.
Mata terarah kepada badan induk berkenaan selepas Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam pernah memberitahu bahawa isu pembakaran suar di dalam stadium adalah dibawah bidang kuasa FAM.
Terdahulu, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataannya menyedari mengenai insiden kontroversi tersebut dan memaklumkan bahawa perkara berkenaan sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Untuk rekod, beberapa kelab pernah didenda akibat tindakan penyokong yang tidak bertanggungjawab membakar suar ketika dan selepas perlawanan.
Tindakan penyokong TFC yang menyalakan suar ketika perlawanan menentang Selangor FC pada musim lepas.
Musim lepas, Terengganu (TFC) dilaporkan didenda oleh FAM gara-gara tindakan penyokongnya yang menyalakan suar dalam stadium selepas perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Selain itu, pada 2015, Jawatankuasa Tatatertib FAM pernah mendenda Pahang FA sebanyak RM10,000 disebabkan kesalahan penyokong membakar suar selepas perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Tindakan yang sama juga pernah diambil ke atas Kedah FA selepas penyokongnya bertindak membakar dan membaling suar ke dalam padang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada tahun sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram