JOHOR Darul Takzim (JDT) menjadikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC sebagai mangsa seterusnya apabila dengan mudah menumpaskan skuad The Cops 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.
Beraksi di laman sendiri sememangnya memberi kelebihan buat skuad Harimau Selatan untuk menjinakkan pasukan pelawat dan hasilnya seawal minit ketiga penyokong tuan rumah bersorak gembira menyaksikan tandukan Bergson Da Silva memasuki gawang PDRM FC.
Dua lagi jaringan juara bertahan Piala FA itu dicetak hasil daripada sepakan penalti yang diberikan pengadil perlawanan kerana Akhyar Rashid menjadi mangsa terjahan keras dan tindakan pemain lawan.
Peluang itu tidak disia-siakan Bergson untuk menambah jaringan dan pemain tengah, Leandro Velazquez pula mengambil tanggungjawab mengambil sepakan penalti buat skaud Harimau Selatan pada minit ke-27.
Meskipun pada babak kedua tiada sebarang jaringan gol dicetak namun aksi pusingan 16 Piala FA terpalit dengan insiden panas apabila tonggak pertahanan PDRM, James Okwuosa diterjah keras oleh Bergson.
Kejadian berkenaan mengakibatkan perlawanan terganggu selama beberapa minit apabila selepas insiden itu pemain PDRM dilihat cuba untuk mendapatkan keadilan daripada pihak pengadil sehingga tercetusnya pertelingkahan antara kedua-dua pasukan.
Bagi mengelak kejadian tersebut berlarutan, pengadil perlawanan, Jeevanathan M. Ponniamoorthy bertindak untuk menenangkan kedua-dua pasukan, selain memberi amaran lisan kepada Okwuosa dan Bergson.
Dalam video perlawanan tersebut menunjukkan bukan hanya Okwuosa mengerang kesakitan selepas kejadian tersebut, malah Bergson juga mengalami perkara yang sama.
Namun begitu, setengah penyokong bola sepak tanah air mempunyai pendapat berbeza apabila melihat kejadian terbabit dan menyatakan pengadil perlawanan sepatutnya melayangkan kad merah kepada penyerang import Brazil itu.
"Dia hentak orang, dia pula yang sakit. Multi talented betul," komen penyokong, ShahHaloTelco.
"Sebab itu dalam sistem pengadilan perlu ada VAR (video bantuan pengadil). Bukan setakat jaringan gol tapi kesalahan setiap pemain," kata seorang lagi penyokong, mrlobo2.
"Pengadil terlupa bawa kad rasanya. Biasanyalah, kalau dinilai secara logik. Boleh dapat kad merah itu," tambah seorang lagi penyokong, Airiel Johari.
Dalam pada itu, JDT akan berdepan dengan pemenang antara pasukan Kuching City FC atau Penang FC pada pusingan suku akhir Piala FA.
Manakala, PDRM FC pula akan bertembung sekali lagi dengan skuad Harimau Selatan dalam aksi ke-9 saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 19 April. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram