Devan anggap jentera serangan The Jang tak sempurna, OKS percaya The Rhinos lebih berhak menang


  • Podium
  • Selasa, 11 Apr 2023

Antara aksi pemain NSFC sewaktu menentang Sabah FC bagi aksi Liga Super pada Isnin. — Facebook/NSFC

PENGENDALI Negeri Sembilan FC (NSFC) K. Devan mengakui masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki pasukan terutama di bahagian serangan selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Sabah FC dalam saingan Liga Super di Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin.

Devan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan memuji komitmen mereka yang mampu bertahan dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan satu mata walaupun kita harapkan tiga. Kita telah bermain dengan baik... kita ada peluang dan mereka pun ada peluang. Mungkin kita beri banyak ruang (untuk) mereka bermain dan saya nampak serangan kita tidak begitu sempurna,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan pada Isnin.

WhatsApp Image 2023-04-11 at 14.15.44

Tommy Mawat menjaring satu gol buat skuad Jang pada perlawanan menentang Sabah itu. — Facebook/NSFC

Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, NSFC terpaksa akur berkongsi mata bersama Sabah dan kini menghuni tangga kesembilan liga dengan sembilan mata manakala Sabah di kedudukan kelima dengan 14 mata.

Ditanya mengenai perancangan untuk melengkapkan barisan pemain, Devan berkata, beliau mahu mendapatkan pemain import bagi mengisi kuota.

"Bagaimanapun, ia semua bergantung kepada keputusan pengurusan dan kewangan kelab untuk mendapatkan pemain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui perlawanan berkenaan bukan mudah dengan NSFC mempamerkan corak permainan bertahan.

"Keseluruhan permainan, (saya rasa) kita layak (untuk) dapat tiga mata tetapi bukan mudah kerana pasukan lawan mempunyai corak permainan sama dan kita tahu jika kita dibolosi, kita akan mengalami kesukaran, namun kesungguhan pemain, kita mampu bawa pulang satu mata berharga,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

NSFC, K. Devan, Liga Super, Sabah FC, Ong Kim Swee