Tiga mata milik Penang, tapi kehilangan 4 import jadi perhatian


  • Podium
  • Isnin, 10 Apr 2023

Sonny dinobat pemain terbaik perlawanan selepas menjaring dua gol buat Harimau Kumbang pada Ahad. — Facebook/PenangFC

SELEPAS tewas di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC berhasil melakar kemenangan kedua di laman sendiri selepas menundukkan PDRM FC, 4-2 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town pada Ahad.

Kemenangan di laman sendiri itu merupakan tiga mata kedua buat skuad Harimau Kumbang pada musim ini yang mana kejayaan pertama dilakar ketika menentang Perak FC 3-1 pada 31 Mac lalu.

Meskipun skuad The Cops mendahului 0-1 namun jaringan sendiri pemain pelawat, James Okwuosa pada minit ke-11 menjadikan kedudukan 1-1 dan memberi gol pertama kepada Harimau Kumbang.

Penyerang Penang, Sonny Saad pula memberi kelebihan kepada skuad Harimau Kumbang dengan jaringannya pada minit ke-16 dan tonggak import itu kembali menambah kegembiraan buat kem tuan rumah dengan gol keduanya pada minit ke-69.

Gol keempat dari pemain gantian, Rahmad Makasuf menambah jaringan untuk Penang FC pada minit ke-91 perlawanan.

Meskipun tiga mata berharga perlawanan berkenaan sah menjadi milik Penang namun kehilangan beberapa tonggak import dalam aksi kelapan itu mencuri perhatian para penyokong.

Lima pemain yang tidak kelihatan pada aksi di Stadium Bandaraya itu ialah Ryu Yamaguchi, Ahn Sae-hee, Giovane Gomes, Curt Dizon dan Ousmane Fane yang ditimpa dengan masalah kecederaan.

WhatsApp Image 2023-04-10 at 12.44.06

Yamaguchi masih tidak merekodkan sebarang penampilan bersama Penang FC dalam saingan musim ini. — Facebook/PenangFC

“Import ada sembilan. Yang banyak main hanya lima orang. Osmane, Adriano Narcizo, Rafael Vitor, Min Tun, Soony. Macam malam ini Osmane cedera, yang lagi empat itu makan gaji buta kah tidak boleh main. Sia-sia bayar gaji,” kata penyokong Harimau Kumbang, Mohd Suhaidi bin Arshad.

“Dizon memang terus tak main kah macam mana?,” komen seorang lagi penyokong, Muhammad Mustaqim yang bertanyakan nasib tonggak import Filipina tersebut.

Sejak dibawa masuk pada musim 2023, pemain import dari Korea Selatan, Sae-hee dan Dizon hanya tampil dalam satu perlawanan dan rekod itu sedikit melegakan daripada tonggak dari Jepun, Yamaguchi yang masih belum melakukan debut bersama Harimau Kumbang.

Manakala, penyerang dari Brazil, Gomes pula tampil dalam enam perlawanan dan berhasil mencetak dua jaringan buat skuad Harimau Kumbang pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram