Aura Nafuzi dan kekebalan SSI antara 7 trivia menarik menjelang perlawanan JDT–KDA FC


  • Podium
  • Ahad, 09 Apr 2023

Perlawanan JDT menentang Kedah dijangka menjadi tumpuan kerana penyokong ingin tahu sama ada Sang Kenari mampu merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Super itu.

SELURUH tumpuan penyokong bola sepak pastinya tertumpu dalam perlawanan di antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Ahad.

Jika KDA FC yang kini menghuni tangga kedua Liga Super turut dibelasah oleh JDT, maka apa lagi tarikan yang ada dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Dua pasukan yang sebelum ini dianggap pencabar utama Harimau Selatan, Selangor dan Sabah FC sudah dibaham Harimau Selatan 4-0.

Begitu juga Negeri Sembilan FC pasukan paling teruk menjadi mangsa apabila diratah 7-0.

Kini menjadi persoalan apakah nasib anak-anak buah Nafuzi Zain dalam perlawanan menentang JDT nanti apabila pasukan tuan rumah yang sudah nencetak 30 gol dan hanya bolos sekali dalam tujuh perlawanan.

Ini cukup untuk membuktikan betapa garangnya Harimau Selatan dalam memburu kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Nafuzi jurulatih tempatan terakhir yang menewaskan JDT. Facebook/KDA FC

Namun penyokong perlu ingat pengendali skuad Hijau Kuning musim ini ialah Nafuzi Zain satu-satunya jurulatih yang kali terakhir menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim sebagai pelawat ketika membimbing Terengganu FC (TFC) pada musim 2021.

Malah pemilik JDT, Tengku Mahkota Johor (TMJ) ketika itu secara santai melawat bilik persalinan TFC dan mengucapkan tahniah kepada pihak lawan atas kejayaan tersebut.

Kini tugas berat menanti Nafuzi Zain untuk mengulangi kejayaan tersebut yang mana kali terakhir KDA FC menewaskan JDT ialah dalam peringkat kumpulan kejohanan Piala Malaysia 2018.

Selain rekod Nafuzi antara pengendali yang menewaskan JDT, Majoriti senaraikan enam lagi fakta menarik menjelang perlawanan skuad Harimau Selatan dan Sang Kenari pada Ahad.

Pemain-pemain KDA FC pada musim 2018. Facebook/KFA

1. Bilakah kali terakhir KDA FC tewaskan JDT?

Sejak 2017 JDT tidak pernah tewas di tangan skuad Hijau Kuning dalam perlawanan Liga Super apabila rekod lapan kemenangan dan tiga seri dalam 11 pertemuan terakhir.

Namun dalam kejohanan lain seperti Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia nasib menyebelahi KDA FC apabila pernah merekodkan kemenangan ke atas skuad Harimau Selatan itu.

Kedah pernah menewaskan JDT semasa kejohanan Piala Sumbangsih 2017 di Stadium Larkin, Johor apabila menang menerusi sepakan penalti 5-4 selepas terikat 1-1 sekali gus menamatkan penantian sejak 1994.

Kali terakhir Kedah menewaskan JDT ialah pada 2018 dalam kejohanan Piala Malaysia 2018 peringkat kumpulan dengan keputusan 3-1 di Stadium Darul Aman, Kedah.

Syihan dijangka meneruskan kecemerlangannya menjaga gawang gol JDT. Facebook/JDT

2. Bilakah kali terakhir Sang Kenari berjaya membolosi gawang gol JDT?

Kali terakhir skuad Sang Kenari membolosi gawang gol JDT ialah pada musim lepas dalam Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim dengan satu jaringan menerusi Ronald Ngah Wanja.

Namun malangnya pasukan Kedah tewas dengan jaringan besar 1-4 meskipun berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-45 perlawanan.

Musim lepas KDA FC hanya berjaya membolosi gawang gol JDT sebanyak dua jaringan manakala Harimau Selatan merobek pertahanan Sang Kenari sehingga tujuh gol dalam dua aksi perlawanan Liga Super.

Namun adakah penjaring terbanyak KDA FC, Willian Lira yang berjaya jaringkan tiga gol setakat ini mampu merobek gawang gol JDT?

Akhyar (kiri) dan Syafiq (kanan) pernah beraksi bersama KDA FC sebelum berhijrah ke JDT. Facebook/JDT

3. Perlawanan reunion Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid bersama Sang Kenari

Menarik untuk kita saksikan berapa banyak perlawanan yang pernah dihadapi oleh bekas pemain KDA FC Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad menentang Sang Kenari.

Syafiq yang menyertai JDT pada 2018 berjaya membuat 49 penampilan sepanjang enam tahun berada di dalam skuad Harimau Selatan.

Dalam 49 penampilan bersama JDT, Syafiq hanya diturunkan bertemu KDA FC sebanyak lima perlawanan sama ada bermain mahupun duduk di bangku simpan.

Manakala Akhyar yang merekodkan 56 penampilan bersama JDT hanya tampil sebanyak tiga perlawanan menentang Kedah sejak meninggalkan gergasi utara itu secara kontroversi.

Adakah dua produk Kedah ini akan diturunkan pada Ahad, sama-sama kita nantikan.

Liridon (kiri) dan Diaz (kanan) antara yang menyumbang gol ketika membelasah pasukan lawan.

4. Jaringan besar antara dua pasukan

Jaringan besar yang direkodkan oleh JDT ke atas KDA FC ialah jaringan 5-0 dalam perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Larkin, Johor.

Gol-gol tersebut dijaringkan oleh Marcos Antonio, Safiq Rahim dan Jorge Pereyra Diaz yang mana masing-masing menjaringkan dua gol.

Manakala kemenangan terbesar Kedah ialah dalam kejohanan Piala Malaysia 2018 peringkat kumpulan dengan keputusan 3-1.

Jaringan itu semua dijaringkan oleh Sandro da Silva, Akhyar Rashid dan Liridon Krasniqi sekali gus mencalar ego JDT ketika itu.

Stadium Sultan Ibrahim merupakan kubu kuat JDT. Facebook/JDT

5. 19 perlawanan tanpa kalah di Stadium Sultan Ibrahim

Stadium yang terletak di Iskandar Puteri, Johor itu membantu JDT melakar rekod 19 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Super setakat ini.

Kali terakhir JDT menanggung kekalahan adalah pada April 2021 di tangan Terengganu ketika di bawah kendalian Nafuzi.

Kedudukan terkini pasukan Liga Super. Facebook/MFL

6. Potensi kedudukan kedua-dua pasukan selepas tamat perlawanan

Pungutan tiga mata pada Ahad akan meletakkan JDT kekal berada dalam di puncak liga dan menjarakkan mata dengan tangga kedua liga manakala Kedah berpotensi untuk terkeluar daripada kelompok empat terbaik liga.

Sebaliknya, Kedah akan terus berada di kedudukan kedua liga sekiranya mencatatkan kemenangan.

Namun begitu, ia tidak memberi kesan kepada JDT yang akan terus gah di persada liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram