Krisis Kelantan buat Gergasi Merah terliur, fans mahu berpesta gol


  • Podium
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Selangor FC kini berada di kedudukan ketiga Liga Super hasil daripada lima kemenangan yang direkodkan. — Facebook/MFL

BARU memasuki minggu ketujuh Liga Super 2023, beberapa pasukan kini mula mengalami masalah dalaman yang dilihat turut membantutkan prestasi pemain di atas padang.

Antara isu utama membelenggu kelab bola sepak tempatan ketika ini adalah mengenai kebajikan pemain dan ketidaktentuan prestasi kejurulatihan pasukan masing-masing.

Yang terbaharu kini digegarkan dengan masalah tersebut ialah kelab yang berpangkalan di Pantai Timur iaitu Kelantan FC.

Pada Selasa, pengurusan The Red Warriors (TRW) membuat keputusan mengejutkan apabila menjadi pasukan pertama bertindak merehatkan ketua jurulatihnya, Choi Moon-sik.

Perkara berkenaan diumumkan beberapa minit sebelum aksi sepak mula antara Kelantan FC dan seteru terdekatnya, Terengganu FC.

Perkembangan tersebut dilihat menjadi pemula kepada perbalahan melibatkan kem jurulatih dari Korea Selatan itu yang diwakili bersama pasukan pengurusan kelab.

Menerusi hantaran di Instagram milik ejen Moon-sik iaitu Leo Jeong yang membuat beberapa siri pendedahan antaranya melibatkan layanan diterima pengendali tersebut dan campur tangan pihak pengurusan dalam pasukan.

338968698_979245786777245_1470055821812314161_n

Moon-sik menjadi jurulatih pertama direhatkan pada musim ini. — Facebook/TRWKelantanFC

Selain itu, Jeong turut mendakwa terdapat pemain yang mempunyai tunggakan gaji selama dua bulan.

Melihatkan kepada krisis dalaman yang berlaku itu, Kelantan FC yang kini di tangga kedua terbawah liga apabila sekadar mengutip empat mata dari tujuh perlawanan itu dilihat mempunyai kesukaran untuk kembali pulih dalam masa terdekat.

Disebabkan itu juga, lawan seterusnya pasukan itu pada Ahad ini iaitu Selangor FC dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengutip tiga penuh apatah lagi beraksi di laman sendiri, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.

Namun begitu, bagi penyokong Gergasi Merah, kemenangan sahaja tidak mencukupi kerana mereka mahu pasukannya mencatatkan kemenangan lebih besar untuk memberikan lebih keyakinan kepada skuad bagi menghadapi perlawanan seterusnya dalam liga.

"Semoga Selangor membantai, ambil kesempatan dengan keadaan semasa TRW. Selangor FC 5-0 Kelantan FC," ujar M Uzaiez Farhan.

"Harap Selangor ambil peluang atas masalah melanda pasukan TRW. Jaringkan gol seberapa bnyak mungkin. Boleh kata tiga mata dalam tangan. Tapi lagi manis kita tambah derita mereka dengan jaringan Selangor 9-0 Kelantan FC," tulis Acik Sofea Epy.

339306837_187194316972639_1419585863606191325_n

Kelantan FC merupakan pasukan dengan rekod bolos tertinggi di dalam liga iaitu sebanyak 22 jaringan. — Facebook/MFL

"Musim 2023 Selangor boleh dikatakan power juga sebab enam pasukan lawan Selangor main parking bus kecuali JDT. Cuma gol kurang menjadi atas faktor kecekapan penjaga gol. Selain itu, penyerang import sedang cari momentum lama," ujar Azmiabdullah.

Melihatkan kepada rekod keputusan perlawanan Kelantan FC dalam tujuh perlawanan awal, hasrat dinyatakan penyokong Gergasi Merah yang kini berada di kedudukan ketiga carta Liga Super bukanlah mustahil untuk dicapai.

Ini kerana sejurus selepas timbulnya pergolakan dalaman baru-baru ini, TRW tewas dengan jaringan besar 0-5 di tangan Terengganu.

Dalam pada itu, Kelantan FC juga menjadi pasukan dengan rekod bolos tertinggi di dalam liga iaitu sebanyak 22 jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram