Rezal Zambery pertahan The Red Warriors tidak seteruk dibayangkan ramai


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

Rezal sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih interim Kelantan FC. — Facebook/TRW

'LAPTOP Cabuk' menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

REZAL Zambery Yahaya, yang baru diamanahkan tugas selaku pemangku ketua jurulatih Kelantan FC, pasukan di dasar Liga Super yang didedahkan sedang berantakan, harus dalam posisi paling tidak dicemburui ketika ini.

Diberikan mandat singkat yang pastinya tidak akan berlanjutan disebabkan syarat pelesenan – dia belum memiliki lesen pro selaku jurulatih namun peningkatan The Red Warriors (TRW) tetap ditagih daripada sentuhannya.

Namun, jurulatih berusia 44 tahun itu tetap menerimanya sebagai cabaran yang diturutinya dengan janji untuk melakukan yang terbaik demi menyelamatkan maruah pasukan daripada terus perkotak-katikkan.

“Cabaran ini bukan baru buat saya sebenarnya,” ujar Rezal, yang diumumkan pelantikannya sebelum sepak mula perlawanan dengan Terengganu di tempat lawan yang berkesudahan dengan kekalahan 0-5, pada malam Selasa lalu, dalam temu bual dengan Laptop Cabuk.

WhatsApp Image 2023-04-06 at 18.22.30

Rezal (kiri) dilantik sebagai pemangku jurulatih skuad TRW bagi menggantikan Moon-sik. — Facebook/ TRW

Selepas enam perlawanan Liga Super musim 2023, Kelantan FC menjadi pasukan pertama mengumumkan untuk merehatkan ketua jurulatih dengan mengetepikan Choi Moon-sik, yang dipertanggungjawabkan atas empat kekalahan dan bolos 17 gol sebelum itu.

Situasi merehatkan ketua jurulatih pernah berlaku di kem TRW pada 2021 sewaktu Rezal menggantikan Marco Ragini yang diketepikankan selepas mengalami masalah kesihatan hingga perlu menjalani pembedahan.

Cuma, senarionya sama-sekali berbeza.

“Pada 2021 itu, kami masih dalam Liga Perdana. Saya diminta ambil alih (daripada Ragini) untuk lima perlawanan terakhir liga ketika kami di tangga terbawah.

“Kelantan menang tiga dan kalah dua tapi cukup untuk kami layak ke Piala Malaysia.

“Kami diundi sekumpulan dengan JDT, PJ City dan Sabah. Tapi tiada rezeki kami untuk layak ke peringkat kalah mati,” ceritanya.

Menurut Rezal, senario itu tentunya berbeza dengan keadaan ketika ini yang menyaksikan Kelantan FC terperosok di tangga ke-13 dengan hanya satu kemenangan dan satu seri daripada tujuh perlawanan di samping sudah bolos 22 kali.

WhatsApp Image 2023-04-06 at 18.23.11

Marco Ragini. — Facebook/ TRW

Terbaru, tular pula tuduh-menuduh di antara ejen Moon-sik yang mendakwa kelab Pantai Timur itu lebih teruk daripada pasukan amatur manakala pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, membalas dengan menyifatkan jurulatih dari Korea Selatan itu sebagai “besar kepala”.

Dalam pada itu, Kelantan FC dikatakan mempunyai dua pilihan sama ada mahu mengambil ketua jurulatih import atau lokal, dengan kebarangkaliannya diura-urakan di antara bekas jurulatih Petaling Jaya City FC, P. Maniam, dan Pengarah Teknikal TRW, Frank Bernhardt.

“Saya tak tahu berapa lama saya akan pegang tugas ini tapi saya tahu ia untuk sementara saja kerana sijil jurulatih saya setakat lesen A, tak cukup untuk pegang pasukan Liga Super secara tetap.

“Tapi selepas diberi mandat oleh pengurusan, saya bersedia untuk cabaran seperti ini. Pengurusan mahu saya cuba tingkatkan prestasi pasukan dan itulah yang saya akan lakukan,” sambung Rezal.

Jurulatih itu turut menyorot pencapaian musim lalu apabila selaku ketua jurulatih Kelantan FC dalam Liga Perdana 2022, dia mengemudi skuad TRW muncul naib juara di belakang JDT II untuk layak ke Liga Super musim ini secara merit.

Tanpa mengira kekalahan kepada Terengganu, Selasa lalu, yang sudah terlalu suntuk, ujian sulung buat Rezal yang dibantu penolong jurulatih, Azli Mahmud, ialah kunjungan ke Stadium MBPJ, Selangor untuk berdepan Selangor FC – pertemuan dua pasukan yang dibezakan jurang sembilan anak tangga – pada Ahad ini.

Kalau hendak diikutkan, akui jurulatih itu, timbul keliru apa yang patut didahulukan dalam latihan dan apa yang boleh dikemudiankan kerana terlalu banyak yang perlu dilakukan dalam masa singkat di sebalik Kelantan FC dipertahankannya sebagai bukan terlalu teruk.

“Jika ada satu bahagian yang perlu ditingkatkan, ia adalah kecergasan, sesuai dengan tuntutan Liga Super yang intensitinya lebih tinggi.

“Tapi saya tak boleh nak kerah sangat pemain dalam aspek kecergasan bila perlawanan dah terlalu dekat. Harap-harap latihan kami yang diadakan pada sebelah petang ketika sedang berpuasa dapat membantu sedikit-sebanyak,” ujarnya.

WhatsApp Image 2023-04-06 at 18.24.42

Rezal musim lalu berjaya membimbing pasukan Kelantan ke tangga kedua Liga Perdana. — Facebook/ TRW

Seperkara lagi yang positif selepas penggantian ketua jurulatih ialah pemain-pemain menerima baik keputusan pengurusan untuk membawa angin perubahan dalam pasukan.

Rezal menambah: “Saya beri kepercayaan penuh kepada pemain-pemain saya, mereka juga tidak gemar mengisi kelompok terbawah, lebih-lebih lagi Kelantan FC pernah miliki DNA sebagai juara.

“Untuk beberapa hari ini, saya akan cuba tingkatkan prestasi individu pemain kerana saya percaya peningkatan individu akan menyumbang kepada keseluruhan pasukan.

“Dalam keadaan sekarang, kami juga terus harapkan sokongan peminat,” tambahnya sambil berharap penyokong Kelantan FC di Lembah Klang akan hadir menggamatkan sorakan pada Ahad ini.

Apa harapan Rezal dalam tugasan sementaranya ini?

“Saya berharap untuk dapat memperbaiki kedudukan pasukan dari satu perlawanan ke perlawanan selain penyokong dapat bersabar.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram