Kedah berhasrat lamar semula bekas peledak berbisa, tapi perlu bersaing dengan kelab Lembah Klang


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

Ketika bersama Kedah, Thiago menyarung jersi berno. 9 sebelum ini. — Instagram/Thiago

PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira sudah semakin menunjukkan belangnya apabila berhasil menambah akaun golnya selepas menyumbang gol kemenangan ke atas Penang FC 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Dalam perlawanan itu, Sang Kenari terpaksa beraksi dengan 10 pemain sahaja selepas insiden pada minit ke-53 apabila pertahanan mereka, Wan Amirul Afiq diperintah keluar padang kerana sudah mengutip kad kuning kedua setelah dikenal pasti menyentuh bola dengan tangan.

Namun insiden berkenaan tidak menjadi alasan buat Kedah memberi kejutan di Darul Aman dan keputusan positif itu berjaya membuatkan penyokong rata-ratanya memuji persembahan Lira serta mula mempercayai kebolehannya.

Jumlah empat jaringan gol yang dimiliki pemain import dari Brazil itu bagaimanapun belum mampu untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyerang utama lagi-lagi selepas timbul khabar angin mengatakan pihak pengurusan akan membawa masuk penyerang baharu.

Heboh dalam kalangan penyokong Hijau Kuning mengenai desas-desus bahawa pihak pengurusan Kedah akan membawa semula bekas penyerang, Thiago Augusto yang kini beraksi di Liga Satu Bahrain, Hidd SCC.

Thiago yang baru sahaja menyertai pasukan berkenaan pada Julai lalu merupakan individu sesuai untuk mengemudi jentera serangan skuad Sang Kenari selepas kontraknya akan tamat bersama Hidd SC pada Mei ini.

thiago

Thiago menjaringkan 36 gol dalam 41 penampilan bersama pasukan Felda United. — Instagram/Thiago

"Mesin gol Felda United dan Kedah Darul Aman, Thiago Augusto dalam proses perjanjian kontrak dengan satu kelab Liga Super. Kontrak Thiago dengan Hidd SC akan tamat pada Mei 2023," kongsi laman Palatao bola.

Penyerang naturalisasi Bahrain itu juga memiliki pengalaman luas di dalam saingan Liga Malaysia sehingga pernah membawa pasukan Felda dan Kedah ke peringkat separuh Piala Malaysia pada 2015 dan 2016.

Akan tetapi, misi Kedah untuk memikat penyerang berusia 33 tahun itu diramal sukar berikutan terdapat sebuah pasukan berpangkalan di Lembah Klang lagi berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Selangor dan Kuala Lumpur (KL) City FC mungkin bakal menjadi pesaing Kedah untuk merebut pemain kelahiran Brazil itu kerana penyerang utama kelab tersebut masing-masing berada di tahap kurang memuaskan.

Penyerang import skuad Warga Kota, Herlison Caion masih belum merekodkan sebarang gol pada musim ini manakala Ayron del Valle di Selangor FC pula masih belum cukup menyakinkan sebagai peledak berbisa The Red Giants meskipun sudah menjaring empat gol pada awal musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram