Jentera sawa tergelincir, 2 warga Bangladesh maut dihempap di Simpang Pulai


  • 112
  • Khamis, 06 Apr 2023

Dua warga Bangladesh dilaporkan maut akibat dihempap jentera sawa di Simpang Pulai, Kinta, Perak pada Rabu. — Bernama

SIASATAN awal pihak polis mendapati jentera sawa tergelincir punca kemalangan hingga menyebabkan dua lelaki Bangladesh maut di sebuah tapak kuari di Simpang Pulai, Kinta, Perak pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, jentera milik pihak kuari itu tergelincir lalu terbalik dan menghempap kedua-dua mangsa hingga menyebabkan mereka meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

"Pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta ambulans telah sampai di tempat kejadian dan mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia.

"Pihak JBPM dengan dibantu mesin pengorek pihak kuari telah berjaya membawa keluar mayat kedua-dua mangsa dalam keadaan tersepit di jentera sawa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa kedua ditemukan berada di kokpit dan dipercayai memandu jentera sawa tersebut manakala mangsa pertama ditemukan tersepit di bingkai kokpit.

Menurut Yahaya, butiran mangsa pertama berusia 25 tahun dapat dikenal pasti kerana memiliki kad pekerja dan pasport namun identiti mangsa kedua tidak dapat dikenal pasti yang pihak kuari mendakwa mangsa kedua itu bukan pekerjanya.

Katanya, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan siasatan diteruskan untuk mengenal pasti punca kejadian dan identiti mangsa kedua,” katanya.

Pada kira-kira pukul 8.17 malam Rabu, JBPM menerima panggilan mengenai kejadian itu lalu menghantar pasukan untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap menggunakan peralatan khas dan bantuan jengkaut pihak kilang berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram