Bukan hanya penyokong, CEO Perak FC macam tidak berkenan sikap LTK


  • Podium
  • Rabu, 05 Apr 2023

Teong Kim ketika memberikan arahan kepada pemainnya di tepi padang ketika aksi menentang JDT pada Selasa. — Facebook/PerakFC

SIKAP Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang dianggap tidak profesional ketika menjawab soalan wartawan selepas kekalahan 0-5 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) mendapat kecaman daripada penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG).

Tewas di tangan skuad Harimau Selatan itu merupakan kekalahan ketiga berturut-turut yang dicatat Perak selepas tumpas 3-1 kepada Penang FC dan 0-3 di tangan Sri Pahang.

“Apa kekurangan Perak? Awak nampak sendiri permainan. Awak sendiri fikir. Awak bukannya tak nampak permainan. Siapa lihat dia tahu apa kekurangan kami,” jawapan Teong Kim ketika ditemu ramah oleh wartawan Astro Arena.

Memberi jawapan sarkastik sebegitu seperti tidak mencerminkan Teong Kim sebagai jurulatih berpengalaman dan ada juga penyokong mula menilai adakah pengendali berusia 59 tahun itu cukup layak untuk membimbing Perak FC.

WhatsApp Image 2023-04-05 at 16.23.46

Antara aksi perlawanan Perak FC menentang JDT di Stadium Ipoh pada Selasa. — Facebook/PerakFC

Bukan hanya penyokong skuad Seladang yang kecewa dengan persembahannya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab berkenaan, Bobie Farid Shamsudin juga seperti tidak berkenan dengan sikap ketua jurulatih itu.

Perkara itu disampaikan menerusi sebuah akaun Facebook TBG Super Fan umpama mewakili suara peminat setia Perak FC dalam pelbagai sudut.

“Alahai. Hidup ini biar macam resmi padi. Lagi berisi lagi tunduk. Ini berisi pun tak tapi tegak. Maaf semua,” tulisnya di hantaran tersebut.

Namun begitu, isi hati yang dizahirkan Bobie Farid itu bukanlah petunjuk untuk menggugurkan Teong Kim sebagai jurulatih seperti harapan segelintir penyokong.

Hal ini kerana, sebelum ini Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi pernah menegaskan kelab itu bertindak profesional mengenai sebarang keputusan drastik dari pihak pengurusan ke atas status Teong Kim.

Pihak pengurusan bagaimanapun masih berharap agar perubahan pasukan perlu berlaku dari masa ke semasa.

Selain isu berkenaan, bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) itu juga mendapat kritikan apabila berlaku pertengkaran dengan pemain sayap Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.

Insiden tersebut berlaku sekitar minit ke-74 yang mana ketika pemain muda itu meminta bola daripada Teong Kim untuk balingan ke dalam memandangkan ia dikeluarkan pemain Perak.

Tetapi balingan pantas bekas penolong pengurus skuad bawah 19 tahun Bayern Munich itu hampir mengenai kepalanya tetapi berjaya disambut pemain sayap kebangsaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram