Perak FC tewas seperti dijangka, LTK pula 'buat hal' sampai dilayang kad kuning


  • Podium
  • Selasa, 04 Apr 2023

Teong Kim memberikan arahan kepada pemainnya di tepi padang ketika aksi menentang JDT pada Selasa. — Facebook/PerakFC

SEPERTI dijangka, Johor Darul Takzim, (JDT) dilihat tidak mempunyai masalah untuk meneruskan momentum kemenangan apabila berjaya menundukkan Perak FC dengan selesa melalui keputusan 5-0 dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Selasa.

Skuad Harimau Selatan yang merupakan pendahulu liga membuka tirai jaringan hasil gol sendiri pemain pertahan The Bos Gaurus seawal minit ke-4 permainan.

JDT kemudiannya menambah dua jaringan pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti yang diambil Leandro Velazquez pada minit ke 24 dan diikuti Diogo Luis Santo (minit ke-44)

Di separuh masa kedua, pemain gantian yang juga penyerang utama JDT, Bergson Da Silva pula berjaya menambah derita skuad Seladang menerusi jaringan pada minit ke-65.

Leandro menutup akaun jaringan gol JDT menerusi gol kelima hasil sepakan percuma cantik pada minit pertama masa tambahan separuh masa kedua.

perak 1

Perak FC dilihat gagal menyaingi kehebatan JDT sepanjang perlawan pada Selasa. — Facebook/PerakFC

Sepanjang tempoh perlawanan, Perak FC gagal memberikan saingan kepada JDT meskipun pasukan Harimau Selatan dilihat bermain dengan tempo yang agak perlahan.

Dalam pada itu, perlawanan tersebut turut menyaksikan sedikit insiden panas di tepi padang membabitkan kedua-dua pengendali pasukan, Datuk Lim Teong Kim dan Esteban Solari

Situasi yang berlarutan sehingga separuh masa kedua itu dipercayai berlaku ekoran daripada beberapa keputusan pengadil dalam aksi tersebut dengan Teong Kim dikenakan kad kuning pada minit ke-74.

"LTK (Teong Kim) tu dah kenapa. Hari itu dengan penyokong sendiri pun cari pasal. Ni dengan coach JDT dan player JDT pula dia buat provokasi. Jaga la nama baik pasukan," ujar Efandy Haery.

"Dia turun turun key player, turun pemain bawah 23 tahun, seorang import, boleh buat modal alasan. Yang best LTK lagi sibuk provok pemain JDT dari dia arah pemain sendiri," tulis Mio Al-fat.

"Emosi sangat coach," ujar Nasz Marzuki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram