Polis buru suspek, kenal pasti punca rusuhan penyokong Perak, Penang FC


  • 112
  • Ahad, 02 Apr 2023

Tangkap layar video tular membabitkan kejadian tersebut pada tengah malam Sabtu selepas perlawanan Liga Super 2023 antara Penang FC dan Perak FC.

POLIS menahan tiga orang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang pada tengah malam Sabtu selepas perlawanan Liga Super 2023 antara Penang FC dan Perak FC.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, insiden tersebut yang turut tular di sosial media itu berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan.

"Pihak polis berjaya berjaya mengawal keadaan dan menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 23 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut.

"Salah seorang tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan awal polis dapati kesemua tangkapan bebas daripada sebarang jenis dadah.

WhatsApp Image 2023-04-02 at 5.54.51 PM

Soffian memaklumkan, polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

"Kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis setelah soal siasat selesai," katanya dalam satu kenyataan.

Soffian berkata, polis turut sedang giat mengesan individu lain terlibat dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

"Polis menasihati orang ramai agar tidak menularkan rakaman video berkenaan kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi," ujarnya.

Pada Sabtu, tular satu video memaparkan kejadian dipercayai rusuhan membabitkan sekumpulan penyokong bola sepak luar kawasan stadium selepas perlawanan liga antara Penang FC dan Perak FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram