'Ivan Mamut dah berubah, tolong bagi bola kat dia', fans tagih sentuhan hatrik bintang Croatia tewaskan Kelantan FC


  • Podium
  • Selasa, 04 Apr 2023

Pemain TFC sedang membuat persiapan akhir sebelum aksi Liga Super berdepan TRW di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu malam ini.— Facebook/ Terengganu FC

KEMENANGAN Terengganu FC (TFC) menewaskan Kelantan United 2-1 dalam perlawanan Liga Super 2023 pada Jumaat lalu seolah-olah satu tonik terbaik buat kelab itu meneruskan rentak kemenangan sebagai juara sebenar di Pantai Timur.

Mereka yang kini berada di tangga kelapan dalam carta liga musim ini bagaimanapun perlu kekal berwaspada bagi mengatur strategi bagi menentang pasukan Kelantan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu pada Selasa.

Oleh itu, ada cakap-cakap daripada peminat TFC meletakkan harapan tinggi kepada pemain penyerang import mereka, Ivan Mamut untuk menjaringkan hatrick dalam perlawanan berdepan pasukan The Red Warriors (TRW).

WhatsApp Image 2023-04-04 at 12.55.57

Mamut (depan) semasa sesi latihan terakhir sebelum menentang pasukan Kelantan FC di Stadium Sultan Mizan Abidin, Terengganu malam ini. — Facebook/ Terengganu FC

Bintang import itu kembali mendapat kepercayaan peminat Sang Penyu selepas mempamerkan aksi hambar pada permulaan musim Liga Super sebelum ini.

Malah, ada peminat menggesa seluruh pasukan membantu penyerang kelahiran Croatia itu ketika meledak kubu pelawat sekali gus membawa pulang tiga mata berharga.

"Ada perubahan pada Mamut, tapi kenapa pemain lain seperti tidak mahu beri (bola) kepada Mamut?

"Sepakannya padu juga, harap dapat beri Mamut buat jaringan. Insya-ALLAH malam ini ada peluang," kata seorang penyokong, Fitri Ikom.

"Mamut hatrick malam ini," kata Burnz Ganu.

"Kedua-dua pasukan TFC dan Kelantan FC pasukan kesukaan saya, tapi untuk perlawanan malam nanti saya tetap pilih TFC, lagipun mungkin TFC ada kelebihan mendapatkan tiga mata bermain di stadium kita.

"Peteh Ganu Peteh ayuh Pahlawan penyu," kata Afiq Nurshazaf Abdullah pula.

Pada masa sama, peminat juga berharap TFC kekal berwaspada dengan kebangkitan Kelantan FC yang pastinya mahu menebus kekecewaan tewas di tangan Negeri Sembilan FC 2-4 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan Sabtu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram