Hanya kutip 5 mata, nama coach lama kembali bermain di bibir fans Perak ganti LTK


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Teong Kim dilantik menjadi ketua jurulatih Perak FC pada musim 2022. — Facebook/PerakFC

KEMARAHAN penyokong Perak FC terhadap prestasi pasukan The Bos Gaurus (TBG) itu semakin menjadi-jadi terutamanya selepas tewas 1-3 di tangan Penang FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang itu menyaksikan skuad dibawah kendalian Datuk Lim Teong Kim mencatatkan kekalahan ketiga pada musim ini.

Selepas perlawanan keenam Liga Super itu, para penyokong meletakkan kesalahan kepada pengendali berusia 59 tahun tersebut yang dianggap tidak berkemampuan lagi untuk membimbing Perak.

Sehinggakan laungan ‘LTK OUT’ mula bergema dalam media sosial berikutan sudah muak dengan konsep ‘trust the process’ yang sering menjadi kata azimat Teong Kim.

Oleh sebab itu, ada dalam kalangan penyokong yang memberikan saranan agar jurulatih lama Perak FC, Mehmet Durakovic kembali ke Perak dan menggantikan kedudukan penolong jurulatih kelab Bayern Munich bawah 19 tahun itu.

WhatsApp Image 2023-04-01 at 17.25.11

Durakovic diminta kembali ke skuad TBG untuk mengambil posisi Teong Kim. — Facebook/PerakFC

“Salam semua. Saya cadangkan Mehmet Durakovic dipanggil semula sekian wassalam,” kata penyokong TBG, Haikal Din.

“Saya setuju (kembalikan Mehmet),” komen seorang lagi penyokong, Mohamad Rizuan.

Durakovic mengambil alih sebagai ketua jurulatih Perak F.C pada Februari 2017 selepas kelab itu menamatkan kontrak bekas ketua jurulatih mereka, mendiang Karl-Heinz Weigang.

Pada Oktober 2018, Durakovic membawa Perak ke pusingan akhir dan memenangi Piala Malaysia ke-92 menentang Terengganu.

Kini, pengendali berusia 57 tahun itu difahamkan masih tidak melatih sebarang kelab selepas Durakovic bersetuju untuk menamatkan kontrak bersama skuad Tog pada musim 2021.

Selepas ini, Perak FC yang berada di tangga kesembilan akan berhadapan dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang berada persada Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada 4 April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram