Bekas import JDT 'hint' sertai Liga M, buat fans Perak, Selangor, Terengganu tak senang duduk


  • Podium
  • Ahad, 02 Apr 2023

Guerra pernah beraksi bersama JDT untuk musim 2017 secara pinjaman dari kelab Boca Juniors. — Facebook/ JDT

BAHANG Liga Super kembali panas selepas lebih seminggu berehat dengan melibatkan tujuh perlawanan yang mana ada antara pasukan dapat memperbaiki kedudukan semasa di carta liga.

Suhu liga semakin panas apabila timbul khabar angin mengatakan ada seorang bekas pemain import berbisa bakal membuat come back dalam Liga Malaysia (Liga M).

Ini selepas bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Gabriel Guerra memberi bayangan akan kembali ke pentas bola sepak Malaysia.

Perkara tersebut dikongsikan oleh penyerang berusia 30 tahun itu di laman Instagram rasmi, @gaby.guerra93 pada Sabtu.

Di dalam posting tersebut, Guerra memuat naik fotonya ketika menyarung jersi JDT dan PKNS beberapa tahun yang lalu.

"One more try, for the last dance. Let's go! (Percubaan terakhir, untuk yang terakhir kalinya. Ayuh!)," tulisnya.

Kapsyen yang dimuat naik Guerra memberi bayangan seolah-olah dia bakal kembali beraksi di Liga M dan mahu destinasinya kali ini sebagai khidmat terakhir sebelum persaraan.

Hantaran Guerra itu mendapat reaksi berbeza daripada penyokong yang mengandaikan mungkin dia akan ke beberapa kelab antaranya Perak FC, KL City FC dan Selangor FC.

Bahkan ada yang berasakan kemungkinan Guerra akan menyarungkan semula jersi Harimau Selatan.

Ini selepas foto berkenaan mendapat tanda suka daripada import sensasi JDT ketika ini, Diogo Luis Santo dan rakan sepasukannya, Mohamadou Sumareh serta Hazwan Bakri.

Foto itu turut mendapat tanda suka daripada pemain pertahanan Gergasi Merah, Khuzaimee Piee.

Guerra juga memuat naik foto lain menerusi entri berbeza pada Ahad yang menunjukkan dia sedang menjalani latihan atas padang dengan memakai jersi PKNS.

Kali ini kapsyennya berbunyi, "My place in the world #preparandonos - to get ready (Destinasi saya dalam dunia ini, jom bersiap sedia)."

"Kelab PKNS FC dah tiada dah, kenapa tu...rindu ke? Marilah ke Selangor FC," tulis @faqrurrazi_04.

"Perak FC?," soal @_a.rvshid pula.

"Welcome to KL City FC (Selamat datang ke KL City) #sampaimatikualalumpur," komen @aimanhaziq00 pula.

"Terengganu amik dia, jadi gok ni," kata @fadhlullah_jamil.

"Come again to JDT (Kembali semula ke JDT)," komen @mmkapla.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan ke mana destinasi Guerra, namun yang pasti ramai penyokong bola sepak tempatan mengidamkan sentuhan penyerang berbisanya di kelab sokongan mereka.

C5MrRpQWYAABmFU

Guerra membantu skuad Harimau Selatan memenangi saingan Liga Super dan Piala Malaysia pada 2017. — JDT

Untuk rekod, Guerra pernah beraksi bersama JDT untuk musim 2017 secara pinjaman dari kelab gergasi Argentina, Boca Juniors.

Selepas meninggalkan JDT pada 2017, pemain berketinggian 1.83 meter itu pulang ke Argentina sebelum kembali ke Malaysia dengan menyarung jersi PKNS pada musim 2019.

Begitupun, jodoh bersama PKNS hanya kekal untuk satu musim sahaja sebelum dia pulang ke Argentina semula.

Pada 2020, Guerra dipercayai sekali lagi kembali ke Malaysia untuk beraksi bersama Sarawak United yang pada ketika itu dilatih oleh E. Elavarasan.

Namun begitu, hasratnya untuk beraksi di Malaysia pada musim tersebut tidak kesampaian, selepas Liga Malaysia dihentikan gara-gara penularan wabak Covid-19.

Guerra yang kini berstatus ejen bebas juga pernah dikaitkan dengan Perak FC pada 2022, selepas laman Wikipedia menyenaraikan skuad Seladang sebagai salah satu kelab dalam kerjaya seniornya. Namun tiada penampilan direkodkan bersama The Bos Gaurus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram