PENYOKONG Chelsea mengkritik pengendali kelab, Graham Potter selepas The Blues jatuh ke tangga ke-11 dalam carta Liga Perdana Inggeris berikutan kekalahan memalukan 0-2 di laman sendiri kepada Aston Villa.
Potter dan barisan pemain Chelsea diejek oleh penyokong mereka sendiri selepas tamat perlawanan di Stamford Bridge, London, England, pada Sabtu.
Pemain Aston Villa, Ollie Watkins dan John McGinn mencetak gol untuk memastikan kemenangan 2-0 berpihak kepada mereka.
Selepas McGinn menggandakan kedudukan, kedengaran laungan penyokong di stadium yang ditujukan kepada Potter dengan jeritan berbunyi, "Anda tidak tahu apa yang dilakukan."
Potter dan pasukan The Blues juga terpaksa menahan telinga apabila kena 'boo' dengan para penyokong sebaik wisel penamat dibunyikan.
Barisan pemain Chelsea diejek oleh penyokong mereka sendiri selepas tamat perlawanan. — Agensi
Isteri kepada pertahanan Chelsea, Thiago Silva, Isabelle, juga tidak percaya dengan keputusan yang dicatatkan Chelsea dalam perlawanan tersebut.
Menerusi satu ciapan di Twitter, Isabelle berkata, "Saya tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Saya tengok carta dan kedudukan dan kita di tempat ke-11.
"Ini amat menyedihkan. Kita perlu bangkit semula dalam perlawanan pada Selasa," katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Aston Villa melonjak di tangga kesembilan serta menyaksikan Chelsea, yang sekian lama menjadi pencabar kejuaraan berada di tempat ke-11.
Kelab itu juga ketinggalan lima mata di belakang kelompok tujuh teratas dalam misi mereka untuk layak ke kejohanan peringkat Eropah musim depan.
"Saya tidak suka menyalahkan sesiapa, saya perlu bertanggungjawab," kata Potter.
Bagi pelawat bimbingan Unai Emery pula, kemenangan itu memastikan mereka memintas lawan berkenaan untuk kini berada di tangga kesembilan dengan 41 mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram