Fans lega akhirnya dapat peluang tanya masa depan Cifu bersama Kelantan


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Prestasi membanggakan Cifu mula mengaitkannya dengan perpindahan ke JDT. — Facebook/TRW Kelantan FC

DUA gol yang dijaringkan pemain import baharu Kelantan FC, Miguel Cifuentes sudah cukup meningkatkan statusnya sebagai salah seorang tonggak pasukan.

Meskipun lebih sinonim dengan tugas sebagai seorang bek kanan, dia seperti diberikan kebenaran oleh ketua jurulatih, Choi Moon-sik untuk mara ke hadapan.

Bagaimanapun, sumbangannya bersama benteng pertahanan masih boleh dipertikaikan apabila skuad The Red Warriors (TRW) sudah dibolosi sebanyak 13 kali dalam lima perlawanan Liga Super.

Jadi, perkara tersebut pastinya memberi tekanan kepada pihak pengurusan yang berhajat untuk memastikan sumbangan pemain itu dapat membawa pasukan ke tahap lebih tinggi.

Tetapi, hasrat untuk melihat Cifuentes, yang juga lebih dikenali sebagai Cifu untuk menyarung jersi Kelantan FC untuk jangka masa panjang sepertinya tidak kesampaian.

336683630_953655782668151_3968889408508539439_n

Cifu beraksi dengan cukup cemerlang baik dari segi serangan mahupun pertahanan. Facebook/TRW Kelantan FC

Ia adalah kerana beberapa khabar angin di media sosial yang mula mengaitkannya dengan perpindahan ke Johor Darul Takzim (JDT) berpunca daripada hantaran di laman Instagram peribadinya.

Sekiranya pemain berusia 32 tahun itu sah melakukan penghijrahan, ia pastinya akan melunturkan semangat pasukan Pantai Timur itu yang baru sahaja pulang ke divisyen teratas bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, baru-baru ini, seorang penyokong yang dikenali sebagai Muhammad Zulfadhli sempat bertanya akan ura-ura itu kepada Cifu.

Menerusi satu foto yang dimuat naik di Facebook, pengikut setia pasukan itu seakan-akan berkongsi satu kisah gembira mengenai pendirian pemain itu.

"Tidak perlu bimbang rakan-rakanku, saya dah siap berjumpa dengan Cifu dan sempat juga bertanya. Dia tidak akan bermain dengan JDT sebab mahu angkat piala bersama Kelantan FC," katanya.

338022238_1393791974790735_8356526312867553033_n

Seorang penyokong sempat bertemu Cifu ketika berada di luar padang. Media sosial

Hantaran itu sepertinya mengundang respons positif daripada rata-rata penyokong skuad TRW yang mengharapkan sumbangan bekas pemain Malaga FC berkenaan dapat diteruskan.

"Kalau dia pergi JDT, pasti dia tidak dapat beraksi dengan lebih kerap," kata Yue Din.

"Terima kasih banyaklah awak kerana tolong kami tanyakan. Barulah lega sedikit," kata Mohamad Faris Che Othman.

"Bagus, bagus. Nasib baik juga awak bertanya, kalau tak, memang saya sendiri tidak tahu. Lega sedikit saya rasa selepas awak berkata demikian," kata Che Mat.

Meskipun perkara itu masih tidak disahkan dengan tepat, ia sedikit sebanyak mampu menenangkan hati rata-rata penyokong TRW yang mula menempatkan pemain kelahiran Sepanyol itu dalam hati mereka.

Cifu dan Kelantan FC berpotensi menambah baik kedudukan mereka dalam carta Liga Super apabila bakal bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan untuk bertemu skuad Jang pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram