Fans Sang Kenari tagih semula sentuhan berbisa Mahmoud Al-Mardi


  • Podium
  • Rabu, 29 Mac 2023

Mahmoud berjaya mencatatkan sembilan gol ketika beraksi bersama KDA FC musim lepas. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC memasuki musim baharu Liga Super 2023 kali ini dengan wajah yang agak baharu berbanding musim sebelumnya.

Selain melakukan pertukaran terhadap jurulatih dengan pelantikan Nafuzi Zain, Sang Kenari juga tampil dengan barisan import yang keseluruhannya terdiri daripada muka baharu.

Langkah itu dikatakan diambil bagi bagi memperkukuhkan lagi pasukan untuk menghadapi saingan liga.

Melihat kepada keputusan yang dicapai dalam lima perlawanan awal setakat ini, prestasi ditonjolkan pasukan dilihat agak positif apabila berjaya berada di kedudukan ketiga hasil daripada empat kemenangan dan satu keputusan seri.

Namun begitu, sebagai pasukan yang sentiasa mahu berada di tahap lebih tinggi, penyokong Hijau Kuning tidak mudah berpuas hati dengan sekadar melihat kepada keputusan dicatatkan.

Ini kerana, selain memperoleh kemenangan, penyokong dilihat turut lebih kritikal terhadap corak permainan ditampilkan pasukan pada musim ini.

Turut menjadi sasaran kritikan tersebut adalah prestasi ditunjukkan barisan import KDA FC terutamanya di bahagian serangan.

ALOR SETAR, 19 Julai -- Pemain Kedah Mahmoud Nayef Ahmad Almardi menjaringkan gol ketiga pasukan dalam perlawanan Liga Super, Kedah FC bertemu Sarawak United FC di Stadium Darul Aman di sini malam ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mahmoud ketika beraksi bersama KDA FC pada musim lalu.

Ini kerana menurut mereka, kesemua import di bahagian tersebut dilihat masih belum menunjukkan prestasi diharapkan setakat ini.

Tiga pemain import yang memenuhi barisan serangan Sang Kenari pada musim ini ialah penyerang, Jonathan Balotelli dan Willian Lira dan pemain sayap kanan, Manuel Hidalgo.

Ketiga-tiga pemain tersebut sudah pun memecahkan kebuntuan jaringan dengan Balotelli dan Hidalgo masing-masing mencatatkan satu gol manakala Lira pula dua gol dengan satu daripadanya adalah daripada sepakan penalti.

Di sebalik jaringan yang direkodkan itu, penyokong berpendapat bahawa aksi dan gaya permainan yang ditonjolkan terutamanya oleh dua penyerang tersebut agak tumpul terutamanya dalam menyudahkan peluang yang terhidang.

Pada masa sama, terdapat juga antara mereka yang berpendapat bahawa terdapat pemain import pasukan yang bersama skuad pada musim lepas dilihat mempunyai gaya permainan yang lebih meyakinkan.

Antara yang pemain yang disebut ialah bekas pemain sayap pasukan, Mahmoud Al-Mardi yang kini beraksi kelab di Liga Kuwait, Qadsia SC.

Malah ada penyokong yang berkongsikan pautan video berkenaan kelincahan ditonjolkan pemain kebangsaan Jordan itu di kelabnya yang terkini.

Mahmoud 2

Mahmoud (kanan) membuat 25 penampilan bersama skuad kebangsaan Jordan. — Agensi

"Kalau dia masih ada dengan Kedah dan dengan pasukan yang sekarang ini. Memang terbaik. Tapi apa kan daya,jodoh tiada," ujar Hapis Junior.

"Sepatutnya, dia antara import yang harus dikekalkan utk semusim lagi. Bayangkan kalau dia kekal lagi. Sayap kiri dia, sayap kanan Hidalgo, tengah Lee Tuck, Manuel Ott dan bawah Bojan Ciger," tulis Muhd Apit.

"Dia ni cukup bagus, level dunia tapi sayang Kedah pi reject," kata Hj Zohir Hj Zohir.

Dalam pada itu, ada antara penyokong berpednapat bahawa pengurusan perlu mempertimbangkan untuk kembali mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu.

"Sepatutnya Kedah kena ambil balik," tulis Fazli Azli.

Mahmoud yang memiliki sebanyak 25 penampilan bersama skuad kebangsaan Jordan itu merekodkan sembilan jaringan daripada 19 perlawanan bersama KDA FC.

Dia juga mempunyai kebolehan untuk beraksi di beberapa posisi di bahagian serangan antaranya sayap kiri dan kanan serta pemain tengah menyerang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram