'Kalau tak perform, kena ada plan B', Azraai Khor kritik corak permainan Lira


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Lira kini hanya merekodkan dua gol selepas diturunkan dalam lima perlawanan Liga Super. — Facebook/KDAFC

WALAUPUN baru lima perlawanan Liga Super berlangsung namun sudah ada penyokong yang membuat penilaian terhadap prestasi pemain terutamanya tonggak utama pasukan kegemaran mereka.

Antara posisi yang sering mendapat penilaian awal penyokong ialah barisan serangan kerana jumlah jaringan seseorang penyerang akan menjadi faktor utama dalam melihat kemampuan mereka untuk mengemudi pasukan.

Seperti pemain baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira kini antara penyerang Liga Super musim 2023 yang mendapat banyak kritikan dan selepas mengharungi lima perlawanan, rata-rata penyokong mempertikai kebolehannya.

Turut tidak melepaskan peluang untuk tampil memberikan pendapat peribadi mengenai permainan pemain import dari Brazil itu ialah pengendali legenda, Azraai Khor Abdullah.

Menurut bekas pengendali Sang Kenari itu, sebagai penyerang tulen yang baik, tonggak berusia 29 tahun itu sepatutnya mempunyai firasat untuk melakukan percubaan mencetak gol dan menterjemahkan dalam bentuk jaringan.

zraai

Azraai tampil memberi pendapatnya mengenai Lira. — Facebook/Kedah FA

"Sebagai satu penyerang yang tulen, dia mesti mempunyai instinct. Sebab itu ada ayat 'in the right time, in the right place'. Seperti ketika aksi Kelantan United lawan Kedah, dah banyak pemain pertahanan masuk, tunggu nak tuck in saja. Dia boleh ada di luar posisi dia. Jenis penyerang apa begitu.

"Sebagai penyerang, bila dah tengok pemain tengah bawa bola, tidak bolehlah hanya berdiri di situ sahaja. Mulalah bergerak. Tapi kita tengok dia tak banyak mobiliti dan lambat ketika ball possession. Keupayaan dia one to one dengan pertahanan pun tiada," kongsinya dalam satu temu bual bersama Sang Kenari 1924.

Jurulatih berusia 70 tahun itu berkata, Nafuzi Zain sebagai pengendali Kedah pada musim ini perlu memberi latihan kepada Lira sehingga pemain itu mampu membawa kepada perubahan positif kepada dirinya dan pasukan.

lira

Nafuzi diharap akan dapat membantu mengeluarkan potensi Lira. — Facebook/KDAFC

Tanpa berselindung, Azraai yang pernah mengemudi Kedah merangkul gelaran ‘double treble’ selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008 itu menegaskan bahawa Sang Kenari perlu mempunyai rancangan lain jika Lira tidak menjadi di Darul Aman.

"Seboleh-bolehnya biar Nafuzi latih dia macam mana dia nak. Dalam kombinasi permainan, buat banyak pergerakan dan sebagainya. Sampai dia improve. Jika sampai bulan empat dan lima ini, dia tak perform, kena ada plan B.

"Masa Kedah nak ambil dia. Jika tengok di Wikipedia Lira, banyak kali juga dia sign satu kelab ke kelab lain dan beraksi sebagai pinjaman. Itu tandanya dia tak perform. Dia score pun bila dah ada peluang jaring di depan gol. Dia tidak pernah score cara lawan defender, gelecek dan menjaring secara open goal," tambahnya.

Untuk rekod, Lira kini hanya merekodkan dua gol selepas diturunkan dalam lima perlawanan Liga Super.

Selepas ini, Kedah akan berdepan Sri Pahang FC pada 1 April ini dan ia merupakan perlawanan pertama selepas hampir dua minggu berehat bagi memberi laluan kepada aksi kejohanan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram