PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira berdepan satu tempoh yang sukar bersama pasukan itu selepas lima penampilan dalam saingan Liga Super.
Meskipun berjaya mendapatkan kepercayaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk mengemudi jentera serangan pasukan, persembahan kurang meyakinkan menyaksikan penyokong mula berpaling arah daripadanya.
Dalam kesemua penampilan dalam liga, pemain kelahiran Brazil itu sudah menjaringkan dua gol dengan satu daripadanya berhasil dari sepakan penalti ketika berdepan Perak FC.
Statistik itu dilihat tidaklah terlalu mengecewakan, namun dengan skuad Sang Kenari mahu berada di tahap lebih tinggi, tidak hairanlah apabila beberapa pihak mula mempersoalkan kebolehannya.
Ini termasuk bekas pengendali Kedah FA, Azraai Khor Abdullah yang menasihati agar Willian tidak menunggu terlalu lama untuk melakukan sumbangan buat pasukan.
Dua gol daripada Willian (tengah) masih tidak meyakinkan orang ramai akan kemampuannya. — Facebook/KDA FC
Baru-baru ini, penyerang berusia 29 tahun itu sepertinya diberi tekanan berbeza apabila seorang lagi pemain mula menonjolkan kualitinya yang tersendiri.
Penyerang kelahiran Ghana, Ebenezer Assifuah dikatakan mula mendapatkan rentak bersama KDA FC B yang ketika ini beraksi dalam saingan Piala MFL.
Dalam dua penampilannya setakat ini, pemain berkenaan sudah menjaringkan tiga gol yang sekali gus membantu pasukan itu berada di kedudukan keempat dengan tiga mata dikumpul.
Walaupun ada yang mengatakan standard kejohanan itu tidak boleh dibandingkan dengan Liga Super, ia tidak menghalang sebilangan penyokong untuk meluahkan pendapat mereka berkenaan kemampuan Ebenezer.
"Dia pandai mencari ruang, cuma mungkin fizikal dia ada kekurangan sedikit. Mungkin kalau bersama skuad senior dia akan bergelut sedikit," kata Shahrul Irfan.
"Buat masa sekarang, bolehlah dikekalkan dengan pasukan B terlebih dahulu, tunggu masa yang sesuai untuk dinaik taraf jika dia kekal konsisten," kata Saiful Aziman.
Adakah Ebenezer (kiri) sudah bersedia untuk dibawa masuk ke dalam skuad utama Sang Kenari? — Facebook/KDA FC
Lebih menarik lagi, rata-rata komen di media sosial mengatakan penyerang berketinggian 1.76m itu perlu dibawa masuk ke dalam skuad senior Sang Kenari selepas ini.
"Kalau dia boleh kekal untuk satu jangka masa panjang, bolehlah dibawa ke dalam pasukan utama ketika jendela kedua perpindahan Liga Malaysia," kata Mohd Azlan Juhari.
"Boleh beri dia masa untuk beraksi bersama KDA FC B supaya dapatkan semula tahap kecergasan terbaik dan keyakinan bersama rakan sepasukan sebelum diserap ke dalam Liga Super," kata Bin Nadim.
Ebenezer sebelum ini dibawa masuk untuk menguatkan lagi jentera serangan Sang Kenari meskipun dia dilaporkan sedang dalam proses pemulihan dari kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Namanya sebelum ini pernah disebut-sebut sebagai salah seorang penyerang berbisa apabila muncul sebagai penjaring terbanyak ketika Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) 2013. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram