PADA musim ini, Sabah dilihat sebagai antara pasukan yang dijangka menjadi pesaing terdekat kepada Johor Darul Takzim (JDT).
Setakat lima perlawanan awal, pasukan yang berada di tangga ketiga pada musim lepas itu dilihat menjadi pasukan yang konsisten dengan prestasinya yang berjaya mengumpul 13 mata hasil daripada empat kemenangan dan satu seri.
Keputusan itu meletakkannya hanya dua mata di belakang pendahulu liga JDT yang mengumpul 15 mata dan satu mata di atas pasukan di kedudukan ketiga Kedah Darul Aman FC yang memungut 12 mata.
Dengan prestasi tidak meyakinkan yang dipamer naib juara Liga Super 2022 iaitu Terengganu, skuad The Rhinos kini dilihat menjadi pasukan pilihan untuk memberikan cabaran terhadap Harimau Selatan yang merupakan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut.
Pada masa sama, memasuki musim kedua di bawah kendalian bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, skuad Sang Badak juga dilihat berpotensi untuk sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini.
Namun begitu, di sebalik keputusan positif direkodkan itu, Sabah FC dilihat masih berhadapan dengan isu dialami pada musim lepas iaitu ketumpulan barisan penyerangnya untuk menghasilkan jaringan.
Setakat ini, penyerang import kelahiran Nigeria yang direkrut pada musim ini dilihat masih tidak memberikan penyelesaian terhadap masalah itu.
Malah pemain berusia 25 tahun itu gagal menarik minat Kim Swee apabila dia hanya dipilih untuk beraksi bersama pasukan utama Sabah FC dengan masih tiada jaringan yang berjaya direkodkan.
Barisan penyerang yang direkrut Sabah FC dilihat masih bergelut untuk membantu menyumbang jaringan gol kepada pasukan. — Facebook/SabahFC
Sementara itu, penyerang utama lain seperti Darren Lok juga dilihat masih bergelut untuk mendapatkan keyakinan menjaringkan gol daripada situasi permainan terbuka dengan kedua-dua gol yang diperolehi pada musim adalah daripada sepakan penalti.
Situasi ini jika tidak diatasi bakal menyebabkan memberikan masalah kepada Sabah FC bagi memberikan cabaran kepada Sang Badak untuk bersaing bersama JDT.
Ini kerana barisan penyerang Sabah FC sepatutnya perlu turut sama memikul tanggungjawab untuk menjaringkan gol dan tidak meletakkan beban itu kepada pemain di di posisi lain.
Disebabkan situasi itu juga, penyokong sering kali menimbulkan beberapa nama pemain import yang dilihat berpotensi untuk menyarung jersi skuad The Rhinos.
Dalam kalangan nama tersebut, antara yang sering kali diulang adalah kelibat bekas penyerang sensasi JDT iaitu Jorge Pereyra Diaz yang kini masih aktif sebagai pemain profesional.
Dengan rekod yang begitu memberansangkan di Liga Super, idea mengenai kehadiran pemain kelahiran Argentina itu pastinya membuatkan mana-mana penyokong Sabah FC tidak senang duduk kegembiraan sekiranya ia benar-benar direalisasikan.
Berikut Majoriti senaraikan tiga sebab mengapa nama Diaz terus menjadi pilihan penyokong The Rhinos sebagai pemain yang perlu ditandatangani pasukan ada jendela perpindahan kedua nanti:
1) Penjaring berbisa yang terbukti di Liga Malaysia
Diaz memilik rekod jaringan yang cemerlang ketika beraksi bersama JDT. — Agensi
Sepanjang tempoh beberapa musim bersama Johor Darul Takzim bermula pada 2014, keupayaan penyerang ini untuk menjaringkan gol adalah satu rekod tidak boleh dinafikan.
Malah, dia juga merupakan tonggak utama yang pernah membantu skuad Harimau Selatan memenangi Liga Super sebanyak dua kali pada musim 2014 dan 2015 serta Piala FA pada musim 2016.
Melalui rekod 18 jaringannya semasa Liga Super 2016, Diaz merupakan pemegang status penjaring terbanyak JDT untuk tempoh semusim selama beberapa tahun sebelum ia dipecahkan oleh Bergson Da Silva pada musim 2021.
Setakat tiga musim bersama JDT bermula 2014, Diaz mencatat sebanyak 48 jaringan bersama JDT.
2) Masih beraksi di liga kompetitif
Diaz ketika beraksi bersama Mumbai City FC. — Agensi
Selepas menamatkan kontraknya bersama JDT pada 2018, Diaz meneruskan karier bola sepak profesionalnya bersama beberapa kelab yang beraksi di liga tertinggi negara masing-masing bermula dengan Lanús dan Platense di Liga Argentina dan kemudiannya Bolívar La Paz (Liga Bolivia).
Melihatkan kepada rekod aksinya di liga berkenaan, Diaz didapati tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan bisanya apabila dilihat agak konsisten menyumbangkan gol di setiap kelab diwakili.
Pada masa sama, dia yang boleh beraksi di posisi penyerang dan sayap itu ketika ini sedang beraksi bersama Mumbai City FC yang merupakan kelab di peneraju Liga Super India (ISL) pada musim ini.
Malah pemain itu dilihat masih mampu mengekalkan tahap kompetitif yang tinggi apabila men jadi penjaring terbanyak kelab tersebut 11 gol daripada 20 penampilannya bersama pasukan.
3) Bukan pemain yang terlalu berusia
Dia ketika ini masih berada di usia awal 30-an. — Agensi
Usia 32 tahun bukanlah umur yang terlalu tua untuknya menampilkan aksi terbaik khususnya di Liga Malaysia.
Malah, penyerang import yang menunjukkan prestasi memberangsangkan di liga domestik antaranya seperti Bergson berada pada usia yang sama.
Disebabkan itu, dia dilihat masih mampu memberikan sumbangan sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun kepada pasukan Sabah FC yang dilihat masih tidak menjumpai penyerang sesuai mampu memberikan ledakan signifikan kepada pasukan.
Pada masa sama, kehadirannya yang pernah beraksi di beberapa liga divisyen tertinggi di negara lain juga pastinya mampu memberikan pendedahan kepada pemain Sabah FC yang turut dibarisi beberapa penyerang muda tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram